Bilangan koperasi meningkat, perolehan RM68.1 bilion, aset cecah RM173.3 bilion: Ewon
- Wartawan Nabalu News
- Jun 19
- 2 min read

19 Jun 2025
PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedickberkata, gerakan koperasi negara mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya merekodkan perolehan mencecah RM68.1 bilion dan jumlah aset keseluruhan meningkat kepada RM173.3 bilion sehingga kini.
Beliau berkata kejayaan ini hasil usaha bersama pelbagai pihak yang komited memperkukuh ekosistem koperasi di Malaysia.
“Gerakan koperasi kini sudah menjangkau usia 103 tahun, dengan keanggotaan seramai 7.2 juta orang dan 16,284 buah koperasi berdaftar di seluruh negara. Ini membuktikan koperasi kekal relevan dan terus berkembang dalam memacu pembangunan sosioekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Koperasi 2025 (BKK’25) di Hotel Everly, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pada 2022, sebanyak 898 koperasi telah didaftarkan, meningkat kepada 1,001 koperasi pada 2023, dan seterusnya bertambah kepada 1,005 koperasi bagi 2024.
“Peningkatan ini mencerminkan kesedaran masyarakat dan minat yang semakin tinggi untuk menjadikan koperasi sebagai gaya hidup,” katanya.

Katanya lagi, bagi memastikan sektor koperasi terus kekal relevan dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat Malaysia, KUSKOP dan SKM kini dalam proses menggubal akta koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502).
“Matlamat utama penggubalan akta koperasi yang baharu ini adalah untuk memperkasa gerakan koperasi dengan meliberalisasi perundangan dan memperkasa SKM sebagai badan pengawalseliaan koperasi.
“Saya berharap dengan akta baru ini, koperasi akan lebih berdaya maju dalam melaksanakan aktivit-aktiviti perniagaan seterusnya membawa pulangan terbaik kepada anggotanya,” katanya.
Ewon berkata, bagi menyokong pertumbuhan koperasi, kerajaan memperuntukkan RM100 juta di bawah Tabung Modal Pusingan SKM, dengan had siling pembiayaan sehingga RM30 juta kepada koperasi yang berpotensi.
Selain itu katanya, sejumlah RM6.75 juta diperuntukkan di bawah Program Pembangunan Perniagaan Melalui Koperasi 2.0 bagi membantu koperasi menaik taraf infrastruktur perniagaan, manakala RM3 juta lagi disalurkan melalui Program SE.RASI yang menggalakkan koperasi menjadi perusahaan sosial.
Mengenai sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan, beliau berkata, pemilihan bulan Julai sebagai bulan sambutan koperasi adalah signifikan kerana ia memperingati sejarah penubuhan koperasi pertama negara, selain sejajar dengan pengisytiharan Hari Koperasi Antarabangsa oleh International Cooperative Alliance (ICA).

“Semoga penghargaan ini dapat menyuntik semangat gerakan koperasi untuk terus berusaha meningkatkan daya maju dan daya saing ke arah yang lebih baik dan cemerlang pada masa akan datang,”katanya.
Ewon berkata, sejajar dengan aspirasi kerangka ekonomi MADANI yang menekankan aspek kesejahteraan hidup rakyat, gerakan koperasi terlibat secara aktif dalam membantu Kerajaan meringankan kos sara hidup.
“Sepanjang tempoh Kerajaan MADANI, KUSKOP bersama SKM melalui gerakan koperasi telah melaksanakan siri-siri Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang telah memberi manfaat kepada lebih 500,000 masyarakat terutamanya golongan B40 dan M40.
“Model pelaksanaan JMKU yang digerakkan oleh koperasi ini menunjukkan keberkesanan konsep ‘ekonomi rakyat untuk rakyat’ dalam konteks sebenar,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa, kejayaan penganjuran ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD 2025) pada Mei lalu disifatkan sebagai satu langkah ke hadapan untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang koperasi.
“Kementerian akan meneliti resolusi ACD 2025 yang dikemukakan oleh pihak ANGKASA dalam aspek dasar sebelum diangkat untuk perhatian Kementerian Luar Negeri dan Sekretariat ASEAN,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kuskop Dato Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor.
Comments