Billy Joe sifatkan cadangan UMNO BN ganti MA63, pengkhianatan kepada rakyat Sabah
top of page
  • Farah Salim

Billy Joe sifatkan cadangan UMNO BN ganti MA63, pengkhianatan kepada rakyat Sabah


6 Julai 2022

Oleh Farah Salim


KOTA KINABALU: Cadangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan perjanjian baru adalah satu pengkhianatan kepada rakyat Sabah, kata Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang Billy Joe Dominic.


Beliau berkata, MA63 adalah asas kepada penubuhan Malaysia dan sekiranya UMNO BN mahu menukar atau membuang perjanjian itu maka lenyaplah perjanjian yang memegang Sabah terus berada dalam Malaysia.


“UMNO BN jangan sekali-kali berani merubah apa-apa pun perjanjian yang terkandung dalam MA63. Rakyat Sabah akan bangkit menentang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Billy Joe berkata, janji Presiden UMNO dan BN semasa kempen di Kimanis beberapa tahun lalu untuk melaksanakan MA63 hanya tinggal janji.


“Masih segar diingatan janji presiden UMNO dan BN di Kimanis, sekiranya mereka menang dan menjadi kerajaan semula, mereka akan laksanakan MA63.


“Pada hari ini mereka bukan sahaja tiada melaksanakannya dengan pelbagai alasan, tetapi mereka ‘cuba’ memansuhkan MA63 dengan menukarnya kepada perjanjian yang baru,” katanya.


Katanya, walaupun Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak berjanji untuk menyelesaikan MA63 dalam masa enam bulan dan ke ibu kota London untuk membaca salinan tulen MA63 namun semuanya hanya sekadar ‘sendiwara” untuk mengaburi rakyat.


“Saya sedih melihat pemimpin-pemimpin Sabah yang membelakangi rakyat dengan menawarkan solusi yang tidak menguntungkan Sabah bahkan merugikankan lagi negeri ini. Janji yang asal pun tidak dapat ditunaikan apatah lagi janji baru.


“Bung (Datuk Bung Moktar Radin) menyatakan sekiranya persekutuan membayar 40 peratus kepada Sabah, kerajaan persekutuan akan bankrup.


“Selama ini rakan-rakan kita di Semenanjung menikmati pembangunan yang amat pesat, tetapi di Sabah, kawasan berdekatan dengan ibu negeri, air masih dicatu dan gangguan bekalan elektrik sering kali berlaku.


“Apa lagi di kawasan pendalaman. Bung sebagai Menteri Kerja Raya patut lebih peka dan tahu akan keadaan ini. Bung tidak kasihankah sama rakyat Sabah? Apakah peranan Sabah sebagai rakan kongsi yang bersama-sama Sarawak, Malaya dan Singapura menubuhkan Malaysia?,” kata Billy Joe.


Beliau berkata, kerajaan persekutuan tidak akan bankrup sekiranya beri bayaran khas 40 peratus kepada Sabah, bahkan kerajaan persekutuan akan mendapat lebih pulangan sekiranya Sabah maju.


“Yang membangkruptkan kerajaan persekutuan adalah pemimpin-pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa, mereka lebih mementingkan poket mereka daripada kebajikan dan hak rakyat. Sebab itulah ada pemimpin yang mengeluarkan idea yang hanya menguntungkan mereka sendiri, bukanya untuk kebaikan rakyat,” katanya.

bottom of page