Blok Borneo mampu jadi penentu Kerajaan Persekutuan – Salleh
- nabalunews
- Feb 28
- 1 min read

28 Februari 2026
KOTA KINABALU: Blok Borneo berpotensi menjadi penentu pembentukan Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum (PRU), kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, ini kerana jumlah kerusi Parlimen di wilayah Borneo berupaya menentukan barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, kekuatan 56 kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak dan satu kerusi dari Labuan menjadikan Borneo faktor penting dalam landskap politik nasional sekiranya tiada pihak memperoleh majoriti jelas.
“Untuk membentuk kerajaan, perlu 112 kerusi. Jika tiada pihak menang besar, Borneo boleh menjadi penentu.
“Tetapi angka sahaja tidak cukup. Kekuatan sebenar datang apabila Sabah dan Sarawak bersatu dan mempunyai agenda bersama yang jelas,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Salleh berkata, landskap politik di Semenanjung Malaysia kini semakin berkisar kepada isu kaum, agama dan persaingan ideologi termasuk perbahasan termasuk soal kerjasama antara parti, yang menurutnya sering tertumpu kepada soal identiti berbanding dasar untuk rakyat.
Katanya lagi, landskap politik di Sarawak lebih mudah kerana kebanyakan parti adalah parti tempatan, manakala di Sabah, keadaannya lebih kompleks dan memerlukan formula yang sesuai serta boleh diterima untuk menjaga kepentingan negeri.
“Sabah dan Sarawak perlu kekal tenang serta fokus terhadap keutamaan sebenar iaitu kestabilan politik, pembangunan, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perkongsian hasil yang adil serta pengukuhan hak negeri dalam Persekutuan.
“Dalam keadaan tidak menentu, perpaduan bukan soal emosi. Ia adalah strategi dan mungkin satu-satunya kekuatan yang kita ada,” katanya.
Beliau berkata, PRU akan datang bukan sekadar soal siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri, sebaliknya mengenai hala tuju Borneo sama ada mahu berpecah atau bersatu sebagai rakan setara dalam Persekutuan.















Comments