Blok Pembangkang Sabah parti berbilang kaum berbanding GRS - EwonBlok Pembangkang Sabah parti berbilang kaum berbanding GRS - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Blok Pembangkang Sabah parti berbilang kaum berbanding GRS - Ewon



1 September 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kini terdiri daripada parti berbilang kaum sepenuhnya.


Menurut Ewon, blok pembangkang Sabah yang mempunyai Wakil Rakyat di DUN terdiri daripada UPKO, WARISAN, DAP dan PKR yang merupakan parti berbilang kaum.


“Kita akan mengekalkan kerjasama blok pembangkang ini sebagai parti-parti berbilang kaum yang mempunyai aspirasi dan wawasan yang sama,” katanya dalam webinar Aspirasi UPKO Bersama Pakatan Harapan sebentar tadi.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, blok kerajaan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pula masih mengamalkan parti berasaskan kaum dan agama.


“BN masih mempunyai parti komponen berasaskan kaum iaitu UMNO, MCA dan MIC. Manakala, PN pula mempunyai parti berasaskan agama iaitu PAS. Buat pertama kali dalam sejarah Sabah, GRS telah membawa masuk parti PAS ke dalam DUN Sabah.


“Inilah yang perlu difikirkan dengan wajar dan sedalam-dalamnya oleh rakyat Sabah, samada parti berasaskan kaum dan agama ini harus menjadi tunjang pentadbiran kerajaan negeri pada masa akan datang sedangkan kita menjadi negeri contoh kepada hubungan baik berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.


Beliau menambah bahawa keputusan UPKO menyertai Pakatan Harapan secara rasmi tidak akan menjejaskan kerjasama di kalangan blok pembangkang Sabah.


“Kerjasama ini bukan baharu, bukan baru kelmarin wujud. Sebaliknya sudah wujud sejak tahun 2018 selepas UPKO menubuhkan Kerajaan Negeri ketika itu bersama WARISAN dan PAKATAN HARAPAN yang diketuai oleh Datuk Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri. Malah pada hari ini pun, Datuk Shafie masih menjadi Ketua Pembangkang kita di DUN.


Menurut Ewon, selaku blok pembangkang yang terdiri daripada parti berbilang kaum, agenda reform dan isu rakyat akan terus menjadi keutamaan.


“Blok pembangkang juga akan meneruskan kerjasama peranan semak dan imbang ke atas Kerajaan GRS.


“Manakala, dalam setiap sidang DUN, kita akan membangkitkan isu-isu rakyat dan mengemukakan usul-usul penambahbaikan urustadbir kerajaan serta hak-hak autonomi Sabah. Datuk Shafie selaku ketua pembangkang akan mengetuai kerjasama blok pembangkang di DUN ini,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page