top of page

BN Sabah perlu kekal di kerusi pembangkang – Akmal Salleh

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 1 min read

ree

1 Disember 2025


KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) seharusnya perlu kekal berada di kerusi pembangkang selaras dengan mandat jelas yang diberikan rakyat pada pilihan raya negeri baru-baru ini, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.


Dengan cara itu, menurut beliau, BN mampu memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan bersama Parti Warisan dan Perikatan Nasional (PN).


“BN patut kekal di kerusi pembangkang di Sabah bersama parti Warisan dan PN. Jadi pembangkang yang kuat bawa isu rakyat dan sentiasa imbangi apa yang kerajaan negeri buat,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.


Beliau berkata, kedudukan BN sebagai pembangkang tidak harus dilihat sebagai kegagalan, sebaliknya satu peluang bagi parti memperbaiki kelemahan dan melakukan pembaharuan yang dituntut rakyat.


Menurutnya, keyakinan rakyat hanya dapat dipulihkan sekiranya parti benar-benar melakukan pembaharuan.


“Rakyat mahu kita menjadi pembangkang kerana mereka ingin melihat kita berubah dengan lebih baik.


“Kita terima kekalahan secara bermaruah dan kita perbaiki kelemahan. Barulah rakyat boleh kembali yakin dan BN mampu kembali di hati rakyat,” ujarnya.


Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa isyarat perubahan yang ditunjukkan oleh pengundi Sabah mampu memberi kesan lebih besar di peringkat persekutuan.


Akmal berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) yang menolak sebarang usaha membawa BN menyertai Kerajaan GRS Plus yang kini diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.


Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dan menyokong pembentukan kerajaan negeri yang baharu di bawah kepimpinan Hajiji.


Zambry berkata, kerjasama itu dizahirkan bagi memastikan Sabah terus berada dalam landasan kestabilan, kemakmuran dan pembangunan yang berterusan demi rakyat negeri ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page