top of page
  • Farah Salim

BN tidak pernah berunding dengan GPS bentuk kerajaan bersama PN: Zahid



20 November 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN), tegas Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.


“Saya suka menegaskan, Barisan Nasional tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama dengan Perikatan Nasional.


“Saya juga ingin memaklumkan, tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman untuk membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Abang Openg bahawa GPS mengambil keputusan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu bersama Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Dalam pada itu, Zahid berkata kesemua ahli Parlimen BN yang memenangi PRU15 telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepadanya selaku Presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan Kerajaan.


“Sehubungan ini, mana-mana Ali Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti

yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.