BNM kekal OPR pada 3.00 peratus, sokong pertumbuhan ekonomi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

BNM kekal OPR pada 3.00 peratus, sokong pertumbuhan ekonomi




7 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis mengekalkan pendirian dasar monetari yang kondusif dan terus menyokong ekonomi serta konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek inflasi dan pertumbuhan.


Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM telah memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), pada kadar 3.00 peratus, selepas menilai prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.


Dalam satu kenyataan media, BNM berkata, MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian mereka.


“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” menurut kenyataan itu.


BNM juga berkata, ekonomi Malaysia dicatat berkembang sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2023, dan dijangka meningkat pada tahun ini, didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.


“Pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak bulan Mac 2023 dan akan terus disokong oleh perdagangan global yang lebih kukuh. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat.


“Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan, serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan,” menurut kenyataan itu.


Jelas BNM, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.


Sementara itu, katanya, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.


Mengenai inflasi, BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.5 peratus dan 1.8 peratus pada bulan Januari 2024.


“Trend ini adalah selari dengan jangkaan. Inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.


“Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global,” katanya.


BNM juga berkata, walaupun asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama, dan Kerajaan serta BNM sedang menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit.


Ia berkata langkah tersebut dijangka akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar, dan seterusnya memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh.


Pada tempoh jangka sederhana, BNM berkata, pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page