Bomba bergelut lebih 2 jam padam api bumbung kilang
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

27 Mei 2025
TAWAU: Sepasukan 20 anggota Bomba dan Penyelamat Tawau terpaksa bergelut lebih dua jam untuk memadam api kebakaran yang memusnahkan bumbung kilang sawmill di Jalan Tanjung Batu Laut, semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 6.35 petang itu, bumbung kilang milik syarikat Hap Seng tersebut, dilaporkan musnah 47 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, kebakaran itu membabitkan struktur bumbung berkeluasan anggaran 50x150 kaki persegi daripada keseluruhan keluasan kilang seluas 16, 000 kaki persegi.
Katanya, pihaknya menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 500 kaki dengan empat pancutan air yang disalurkan daripada jentera bomba dan juga tangki air kilang terbabit yang dikategorikan sebagai bangunan jenis tidak kekal.
Terdahulu, katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.36 petang menerusi talian MERS999.
“Sepasukan 20 anggota dari BBP Tawau dikerah ke lokasi kejadian sejauh lapan kilometer dan tiba pada jam 6.44 petang, melibatkan empat jentera termasuk dua FRT, satu EMRS dan satu Vigo,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jemishin berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.09 malam sebelum operasi ditamatkan sekitar dua jam kemudian iaitu pada jam 9.07 malam. Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Tambahnya, antara agensi lain yang turut membantu dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia (enam anggota); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (tujuh), RELA (dua), Sabah Electricity (dua) dan Bomba Komuniti Titingan (10 anggota).
Comments