top of page

Provokasi agama, kebencian melampau tidak diterima di Malaysia – Menteri Perpaduan

  • nabalunews
  • 2 minutes ago
  • 1 min read

10 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.


Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya memandang serius tiga insiden baru-baru ini yang dilihat berpotensi menggugat keharmonian negara, dan mahu tindakan terhadap golongan pelampau terbabit dilaksanakan tanpa kompromi.


“Keharmonian negara tidak boleh digadai oleh tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.


“Sehubungan itu, saya memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Aaron merujuk kepada insiden kenderaan milik aktivis masyarakat Cikgu Chandra, yang dibakar pihak tidak bertanggungjawab dan video tular memaparkan seorang lelaki memijak dan merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul, yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan penganut agama tersebut.


Insiden ketiga pula adalah serangan terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth yang turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan individu dan ketenteraman awam.


Dalam pada itu, Aaron menyeru rakyat supaya tidak bertindak secara beremosi atau menyebarkan spekulasi serta sentiasa berhemah dalam memberikan reaksi terhadap isu-isu sensitif, khususnya di media sosial.


“Sebarang perbezaan pandangan harus ditangani melalui saluran yang betul serta berlandaskan undang-undang,” katanya.


Beliau menegaskan Malaysia dibina atas asas perpaduan, saling menghormati serta kefahaman antara agama dan budaya, dan nilai tersebut perlu terus dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat.


Katanya, Kementerian Perpaduan Negara akan terus bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan, pemimpin masyarakat dan pertubuhan antara agama bagi memastikan keharmonian, keamanan serta kestabilan negara sentiasa terpelihara.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page