top of page
nabalunews

Bomba Sabah terima 33 kes pokok tumbang dalam tempoh lima hari


24 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan sebanyak 33 kes pokok tumbang sepanjang lima hari kebelakangan ini.


Menurut Pemangku Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan Borhan, semua panggilan kecemasan tersebut diterima bermula seawal jam 7 pagi pada 18 Oktober hingga 7 pagi Selasa.


"Kota Belud mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan tujuh kejadian, diikuti lima kes di Tuaran, empat kes di Putatan, serta masing-masing tiga kes di Kunak dan Penampang


"Keningau dan Papar merekodkan dua kes di setiap daerah, sementara Tambunan, Sandakan, Beluran, Tawau, Kota Kinabalu, Kudat dan Kuala Penyu masing-masing mencatatkan satu kes," jelas beliau dalam kenyataan media semalam.


Farhan menambah bahawa tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kejadian ini.


Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi perubahan cuaca yang tidak menentu, yang boleh membawa kepada bencana seperti banjir atau pokok tumbang akibat hujan lebat dan ribut petir.


Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka melanda beberapa kawasan di Sabah, termasuk Kuala Penyu, Beaufort, Keningau, dan Tambunan.


Amaran yang sama turut dikeluarkan bagi kawasan Pantai Barat, Sandakan, Beluran, Kudat, dan Labuan, yang dijangka berlarutan sehingga Jumaat ini.


MetMalaysia dalam kenyataan pada Rabu turut memaklumkan mengenai nasihat ribut tropika Trami, yang dikesan berada sejauh 1,281 kilometer di Timur Laut Kudat, yang menyebabkan hujan berterusan dan angin kencang di sekitar Sabah.


Ribut tropika itu berada di latitud 15.7 utara dan longitud 124.4 timur, kira-kira 395 kilometer Timur Laut Manila, Filipina pada Rabu.


Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memantau laporan cuaca terkini dan mengutamakan keselamatan mereka sepanjang tempoh cuaca buruk ini.

Comments


bottom of page