Bonus sebulan gaji atau minimum RM3,000 kepada penjawat awam negeri
15 November 2024
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengumumkan bantuan khas kewangan atau bonus sebulan gaji dengan bayaran minimum RM3,000 kepada semua penjawat awam negeri.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata insentif itu yang akan dibayar pada Januari depan memberi manfaat kepada seramai 18,949 penjawat awam negeri.
Katanya, bantuan khas kewangan itu turut diterima pekerja berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian yang berkhidmat dengan kerajaan negeri.
“Oleh itu, selain daripada pelarasan gaji, Kerajaan Sabah juga ingin membawa khabar gembira kepada penjawat awam negeri Sabah dengan memberikan bantuan khas kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM3,000.
“Bayaran bantuan khas kewangan ini yang membabitkan seramai 18,949 orang penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada Januari 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN), petang ini.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Sabah turut menyemak semula kadar gaji penjawat awam negeri termasuk berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian.
Katanya, inisiatif itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pelarasan gaji penjawat awam Persekutuan pada September lalu.
“Kerajaan Sabah juga akan melaksanakan pelarasan gaji melalui dua fasa iaitu pada Disember ini dan fasa kedua pada 2026.
“Pelarasan ini yang akan membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM149 juta sejajar dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang pendapatan rakyat termasuk penjawat awam,” katanya.
Comments