- Wartawan Nabalu News
Borneo Hackathon 2023: Platform untuk asah kreativiti dan bakat belia

16 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Program Borneo Hackathon 2023 yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Komputeran Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berlangsung di U-Science, Bangunan Perpustakaan UMS baru-baru ini.
Program ini bertujuan untuk memberi impak positif dan peluang kepada generasi muda untuk terlibat dalam program yang dapat meningkatkan pembangunan belia. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengaplikasikan konsep sains, kejuruteraan dan matematik dalam kehidupan harian.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, berkata program ini diharap dapat membantu meningkatkan kreativiti dan menemui bakat dalam kalangan belia yang berpotensi mencapai kejayaan dalam bidang inovasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Program ini juga memberi peluang kepada semua peserta dari institusi pengajian tinggi yang berbeza untuk terlibat. Ia juga dapat menjalin hubungan kerjasama yang erat (networking), terutama untuk menggalakkan semangat kerjasama untuk mencapai objektif,” katanya.
Beliau juga berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan melibatkan lebih banyak agensi.
“Keterlibatan agensi lain dapat meningkatkan kebolehpasaran peserta untuk bersedia menghadapi alam pekerjaan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan program. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FKI, Profesor Madya Dr. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi.
Borneo Hackathon 2023 yang berlangsung selama tiga hari itu disertai oleh 33 orang pelajar dari UMS, Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TARUMT), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua Pustakawan, Md Sazali Md Salleh; Ketua U-Science, Zawawi Tiyunin; dan Timbalan Pengarah Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri, Ts. Dr. Chin Pei Yee.