Borneo VeGO E-Pengangkutan bukti usahawan Sabah mampu berdiri setaraf pemain global

16 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Kewujudan Borneo VeGO E-Pengangkutan membuktikan bahawa usahawan Sabah mampu berdiri setaraf dengan pemain global, bukan sekadar dari segi visi, malah dalam pelaksanaan inovasi berteknologi tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, aplikasi e-hailing pertama itu yang diasaskan dan dibangunkan sepenuhnya oleh usahawan tempatan Sabah, akan membuka lebih banyak peluang keusahawanan di negeri ini.
“Inisiatif ini membuka laluan kepada lebih banyak peluang keusahawanan, terutamanya dalam sektor pengangkutan yang semakin berkembang pesat," katanya sempena majlis pelancaran Borneo VeGO E-Pengangkutan di Padang Merdeka di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakankan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji mengucapkan tahniah kepada Koperasi Usahawan Pengangkutan Borneo Berhad (KUPBB) atas kejayaan melancarkan Borneo VeGO E-Pengangkutan berkenaan
Katanya, usaha ini selaras dengan agenda kerajaan negeri untuk memperluas ekonomi digital, meningkatkan kebolehpasaran rakyat, serta memodenkan sektor perkhidmatan.
"Saya dimaklumkan, KUPBB mempunyai matlamat jangka panjang untuk melibatkan lebih ramai pemandu tempatan, khususnya dari komuniti luar bandar di Sabah dan Sarawak, supaya dapat menjana pendapatan secara mampan melalui platform ini.
“Justeru, Borneo VeGO bukan sekadar sebuah aplikasi e-hailing. Ia adalah simbol keberanian koperasi tempatan memanfaatkan teknologi demi memperkasakan komuniti dan menjana peluang ekonomi baharu,” katanya
Beliau turut agar perkhidmatan Borneo VeGO ini akan berkembang meliputi penghantaran makanan, minuman, dan barangan keperluan harian, sekali gus membantu peniaga kecil dan sederhana.
“Langkah ini bukan sahaja memudahkan kehidupan rakyat, malah memperluas pasaran untuk usahawan tempatan. Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha seperti ini kerana ia membantu merancakkan ekonomi tempatan, mengurangkan kadar pengangguran, serta meningkatkan mobiliti rakyat dengan lebih efisien dan selamat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, masyarakat awam dan komuniti perniagaan untuk menyokong Borneo VeGO.
“Saya yakin, pelancaran Borneo VeGO hari ini akan membuka ruang ekonomi baharu kepada lebih ramai anak muda dan inovator Sabah,” katanya.















Comments