Bot kargo tempatan gagal seludup 9.6 tan gula pasir
- nabalunews
- Feb 17
- 1 min read

17 Februari 2025
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan sebuah bot kargo menyeludup keluar 9.6 tan gula pasir ke negara jiran, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot yang dikendalikan seorang lelaki tempatan itu dikesan sedang bergerak dari arah Sungai Tawau menuju ke sempadan perairan negara sekitar jam 8.30 pagi.
"Bot kargo itu ditahan di perairan Batu 3 oleh bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, gula berjumlah 9, 600 kilogram (kg) itu ditemui hasil penggeledahan menyeluruh ke atas bot kargo berkenaan, manakala, juragan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawanya dan tiada pengikraran barangan dilakukan.
Katanya, semakan juga mendapati nama juragan tersebut tiada daftar di dalam lesen bot kargo berkenaan
Shahrizan berkata, kesemua barangan, termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM60, 000.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).
Mengulas lanjut, beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
Katanya, pihaknya juga akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi lain dalam memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.
Shahrizan turut menyeru komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang salah laku jenayah di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau talian kecemasan 999.
Comments