top of page

Bot Misteri Ditinggalkan Bersama Dadah RM1.9 Juta

  • nabalunews
  • Aug 19
  • 1 min read

ree

19 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Misteri penemuan sebuah bot pemancing yang ditemui hanyut di Stesen PAPA, kira-kira 273 kilometer dari ibu negeri ini terbongkar apabila membawa kepada penemuan 42 kilogram dadah.


Bot pemancing yang dipercayai ditinggalkan di kawasan perairan jagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu, didapati membawa dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta.


Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Khairulanuar Abd Majid@ Razali berkata, bot berkenaan ditemui pada jam 8.20 pagi oleh pasukan TLDM.

ree

Katanya, sebaik penemuan bot tanpa nombor pendaftaran itu, pihak TLDM terus menghubungi Maritim Malaysia untuk serahan dan tindakan selanjutnya.


“Pemeriksaan awal oleh pihak TLDM telah menemui tiga bungkusan yang mencurigakan yang disimpan di bahagian bilges bot berkenaan.


“Setiba di jeti APMM Sepanggar, pemeriksaan lanjut dilaksanakan oleh pihak Maritim Malaysia dengan bantuan Pasukan Forensik berjaya menemui 39 bungkus lagi dadah yang disembunyikan di dalam tangki penyimpanan air,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, hari ini.


Turut hadir Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan.


Menurutnya, semua dadah berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan bagi membantu siasatan lanjut.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup


“Nilai keseluruhan bot dan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.5 juta berdasarkan harga pasaran semasa.


“Ini adalah rampasan terbesar tahun ini oleh Maritim Malaysia, Sabah dan semua dadah berkenaan dipercayai untuk diseludup ke pasaran negara jiran,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page