Budak perempuan maut dipercayai jatuh dari tingkat 10

4 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
LABUAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah apartment di Ganggarak Permai di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Labuan, Supt. Ahmad Jawila, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 5.28 pagi.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal di apartment itu dipercayai terjatuh dari bahagian tepi bangunan berpagar berdekatan dengan lif.
Beliau berkata pegawai perubatan yang hadir di lokasi kira-kira 7.42 pagi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Labuan untuk bedah siasat. Siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan di talian 087-412222.
Comments