BUDI95: Semakan kelayakan subsidi petrol RON95 dibuka hari ini
- nabalunews
- Sep 25
- 1 min read

25 September 2025
KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia boleh mula membuat semakan kelayakan subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan, bermula hari ini.
Portal rasmi www.budimadani.gov.my kini dibuka untuk semakan profil kelayakan dan baki penggunaan subsidi bulanan.
Menurut kementerian itu, semakan dilakukan secara automatik menggunakan nombor kad pengenalan tanpa perlu pendaftaran baharu.
Selain itu, pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal tersebut.
Pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam pembaca di pam minyak untuk pengesahan kelayakan sebelum membuat bayaran dan pembayaran dibuat menggunakan tunai, kad kredit/debit atau e-dompet.
Menerusi program BUDI95, subsidi petrol RON95 disasarkan kepada rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif, dengan had kelayakan subsidi ditetapkan sebanyak 300 liter sebulan.
Harga subsidi kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga pasaran tanpa subsidi adalah sekitar RM2.60 seliter.
Penggunaan melebihi kuota akan dikenakan harga pasaran semasa.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595.


















Comments