BUKA PARLIMEN SECEPAT MUNGKIN ATAU UNDUR DIRI: PHBUKA PARLIMEN SECEPAT MUNGKIN ATAU UNDUR DIRI: PH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

BUKA PARLIMEN SECEPAT MUNGKIN ATAU UNDUR DIRI: PH




17 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Majlis Presidan Pakatan Harapan menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.


Demikian dinyatakan dalam kenyataan media yang dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Hj Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP), hari ini.


Menurut mereka, sekiranya Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan dlri.


“Kami mengambil maklum kenyataan media Penyimpan Mohar Besar Raja-Raja bahawa Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen bersidang segera.


“Oleh itu, adalah teramat jelas bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.


Majlis Presiden Pakatan Harapan menyatakan, persidangan Parlimen amat penting dibuka semula sekarang agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan.


Katanya lagi, persidangan Parlimen juga penting agar Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas.


“Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parliman, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah la memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir,” kata kenyataan itu.

bottom of page