top of page
Writer's pictureMarryan Razan

Bukit Karang-Karang Tomis antara lokasi menarik bagi penggemar aktiviti hiking



Antara kawasan menarik di sepanjang laluan ke puncak Bukit Karang-Karang.

31 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


Bukit Karang-Karang yang terletak di Kampung Tomis Lama Tamparuli, lebih kurang 80 kilometer dari pusat bandaraya Kota Kinabalu antara lokasi baharu bagi para penggemar aktiviti hiking atau mendaki bukit.


Pengurus Eko Pelancongan kampung itu Nickson Dauni berkata, nama bukit itu diambil dari sejenis rumput dikenali sebagai ‘karang-karang’ dalam Bahasa Dusun yang banyak tumbuh di puncak bukit berkenaan.


Nickson Dauni

“Karang-karang sebenarnya tumbuhan biasa tetapi ia agak istimewa kerana penduduk kampung pada masa dahulu menjadikannya sebagai payung ketika hujan.


“Antara yang menarik di Bukit Karang-Karang ialah, terdapat 15 air terjun di sepanjang laluan menuju ke puncak Bukit Karang-Karang. Kawasan ini juga amat menarik kerana mempunyai laluan mendaki yang mencabar sepanjang 6 kilometer dari tapak rekreasi.


“Sambil menikmati keindahan alam semulajadi yang cantik, cuaca yang sejuk dan udara yang nyaman, laluan yang mencabar juga akan menguji ketahanan mental dan fizikal para pendaki untuk menawan puncak bukit itu,” katanya kepada Nabalu News, baru-baru ini.


Nickson berkata, para pendaki juga akan melalui kebun nenas, kebun sayur tanah tinggi dan buah-buahan penduduk kampung.



“Mereka boleh memetik sendiri buah nenas seberapa banyak yang mereka mahu dengan bayaran yang amat berpatutan,” katanya.


Eko pelancongan itu mula dibuka pada November 2019 dan menerima sambutan amat menggalakkan.


“Kebanyakan tempahan kami terima pada waktu cuti sekolah, cuti umum atau setiap hujung minggu daripada penggemar hiking seluruh Sabah,” katanya.



Bagaimanapun sejak Covid-19 melanda negara dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), ia ditutup sehingga kini.


“Walaupun aktiviti rekreasi sudah dibenarkan beroperasi pada masa ini, namun kami mengambil keputusan untuk membukanya pada tahun depan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.


Bagi menarik lebih ramai pengunjung ke eko pelancongan itu, kami akan mengadakan kerjasama dengan pengusaha-pengusaha eko pelancongan berdekatan dan menaik taraf pondok-pondok rehat di sepanjang laluan ke puncak bukit.



“Kami juga akan mewujudkan lebih banyak aktiviti sampingan seperti permainan tradisional, pameran dan jualan makanan dan minuman tradisional.


“Selain aktiviti hiking kami juga menawarkan perkhidmatan sukan lasak seperti basikal bukit dan ATV,” katanya.

Setakat ini, eko pelancongan Bukit Karang-Karang satu-satunya destinasi pelancongan luar bandar di Kg.Tomis Lama.


Nickson berkata, mereka dalam perancangan untuk menambah aktiviti pelancongan di kawasan itu pada masa akan datang.


“Kami sedang mewujudkan kawasan Agro Pelancongan iaitu Farmstay di kampung ini sebagai sumber pendapatan tambahan para penduduk kampung,” katanya dan menambah eko pelancongan Bukit Karang-Karang diusahakan oleh penduduk kampung melibatkan 50 ketua isi rumah.



Katanya lagi, aktiviti hiking yang semakin popular dan menjadi trend terkini dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak muda mencetuskan ilham kepada penduduk kampung mempopularkan Bukit Karang-Karang sebagai destinasi pendakian penggemar aktiviti lasak.


“Ini juga akan menambah aktiviti belia di kampung dan seterusnya memberi peluang kepada penduduk kampung untuk menambah sumber pendapatan melalui penjualan hasil pertanian, makanan dan inap desa pada masa akan datang,” katanya.


Selain Eko Pelancongan Bukit Karang-Karang, kampung berdekatan seperti Kampung Tiong Gondohon juga mempunyai kawasan menarik seperti Kondiu Trail dan Eko Pelancongan Tiong Simpodon di Kampung Tiong Simpodon. Antara yang menarik di eko pelancongan Kg.Tiong Simpodon ialah bunga rafflesia.



Comments


bottom of page