top of page
  • nabalunews

BULAN SABIT MERAH KUMPUL 6,060 PAIN DARAH SEJAK MAC LEPAS



3 DIS 2020


KOTA KINABALU: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah telah mengumpul sebanyak 6,060 pain darah melalui Program Derma Darah COVID-19, yang dilaksanakan di seluruh negeri ini, sejak Mac lepas.


Penyelaras Program Derma Darah BSMM Sabah Leslie Chan Boon Siang berkata darah berkenaan dikumpul melalui 147 program derma darah yang diadakan di 23 daerah di negeri itu.


“Jumlah darah yang dikumpul melibatkan lebih 6,000 penderma di seluruh Sabah dan kita yakin mampu mengumpul lebih 7,000 pain darah sehingga penghujung tahun ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.


Beliau berkata Sebanyak 3,553 daripada 6,060 pain darah berkenaan dikumpul semasa fasa pertama program berkenaan yang diadakan Mac hingga Ogos lepas dengan melibatkan 95 program derma darah.


Leslie berkata sehingga hujung tahun ini sebanyak 23 lagi program derma darah akan dilaksanakan di beberapa daerah di Sabah melibatkan 300 sukarelawan.


Beliau berkata untuk daerah Kota Kinabalu, empat lagi program akan dilaksanakan pada 5 hingga 6 Dis, 12-13 Dis, 19-20 Dis dan 26-27 Dis bertempat di Bangunan BSMM Sabah.


Sehubungan itu, Leslie meminta penduduk Sabah agar menderma darah bagi menampung bekalan darah yang agak kritikal di Hospital Queen Elizabeth I, Hospital Kudat dan Tuaran, serta menegaskan pengendalian derma darah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – Bernama


bottom of page