top of page

Ewon Sumbang RM30,000 Untuk Pembangunan Kampung Kaung Ulu

  • nabalunews
  • 3 minutes ago
  • 1 min read

7 Jun 2025


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyerahkan sumbangan RM30,000 menerusi peruntukan Sentuhan Kasih Adun Kadamaian untuk pembangunan komuniti Kampung Kaung Ulu.


Sumbangan RM10,000 setiap satu itu masing-masing disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Gereja Katolik serta Gereja Sidang Injil Borneo (SIB).


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada komitmen untuk terus menyalurkan bantuan pembangunan kepada rakyat Kadamaian melalui pelbagai projek dan inisiatif.

“Selain projek kecil melalui peruntukan Adun dan pelbagai kementerian di bawah kerajaan negeri serta kerajaan persekutuan, projek berskala besar juga sedang rancang dilaksanakan di kampung ini.


“Ia termasuk pembinaan jambatan konkrit menyeberang Sungai Kadamaian, kerja membina bangunan baharu Sekolah Kebangsaaan (SK) Kaung serta menaik taraf bangunan klinik desa,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan sambutan Pesta Kaamatan, di sini, hari ini.


Pengerusi JKKK, Geofery Magaran berkata peruntukan yang diterima akan digunakan untuk membina sebuah bengkel pembuatan parang yang telah lama dirancang oleh penduduk kampung.


“Kami telah lama berhasrat memiliki bengkel tersebut, dan sangat menghargai keprihatinan Datuk Ewon. Kami akan memulakan pembinaan dalam bulan ini agar bengkel ini dapat dimanfaatkan oleh penduduk kampung,” katanya.


Wakil Gereja Katolik St. Augustine, Emma Sipin, berkata dana yang diterima amat dihargai dan akan digunakan sepenuhnya untuk membina kemudahan tandas tambahan bagi memastikan keselesaan jemaah, terutamanya semasa upacara keagamaan atau acara berskala besar.


Sementara itu, Pengerusi Gereja SIB, Ismail Sinteh, menyambut baik peruntukan yang diterima dan menjelaskan bahawa dana tersebut akan dimanfaatkan untuk membina jalan masuk ke gereja bagi memudahkan akses para jemaah.


Dalam perkembangan lain, Ewon turut melancarkan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Kampung Kaung Ulu pada majlis tersebut.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page