top of page
  • nabalunews

Bung bohong di parlimen tuduh PH potong bajet pembinaan Pan Borneo Sabah - DAP Sabah



23 Sept 2021

Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin melembarkan tuduhan yang tidak berasas kepada PH dalam perbahasan Ucapan Titah Diraja kelmarin. Bung menuduh Pakatan Harapan telah memotong bajet pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, dan menyebabkan pembinaannya lewat. Sebaliknya, Bung kata Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak tidak dipotong bajetnya. Ini pembohongan dan fitnah yang terang-terang. Tambahan pula, beliau berkata, sesiapa yang minta bukti menyokong tuduhan tersebut ialah orang bodoh. Ini adalah kenyataan yang tidak menepati tatasusila parlimen (unparliamentary). Kami amat kesal dengan tingkah laku beliau. Lazimnya hujahan ahli-ahli parlimen perlu disokong dengan fakta dan bukti untuk mencerminkan tahap kewibawaan wakil rakyat. Tanpa fakta dan bukti, perbahasan Dewan Rakyat tiada beza dengan cybertrooper yang selalunya melemparkan kenyataan yang bukan-bukan. Bukti yang kami pakai tidak lain tidak bukan, apa yang dikatakan oleh Bung Moktar sendiri di DUN Sabah semasa beliau menjawab soalan di DUN atas jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah. (https://www.nst.com.my/news/nation/2020/12/651142/pan-borneo-highway-phase-1-be-completed-2040) Untuk makluman, projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo terbahagi kepada 3 fasa. Fasa Pertama merangkumi 706km dan 35 pakej kerja, dengan anggaran nilai RM15.272 billion. Fasa 1 Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bermula pada 11 April, 2016 dengan cara PDP (Project Delivery Partner). Melalui perjanjian PDP, cara pemberian dana projek adalah melalui perbelanjaan pembangunan dari kerajaan dan terbitan sukuk. Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri Sabah, iaitu Kerajaan Warisan telah membuat cadangan kepada Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan bahawa, cara PDP dan perjanjiannya ditamatkan, pada September 2019. Ini telah menyebabkan pelaksaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah hanya bergantung kepada perbelanjaan pembangunan kerajaan dan dilaksanakan oleh JKR Sabah. Berikutan perubahan tersebut, daripada 20 pakej kerja yang belum dianugerahkan, hanya 1 pakej kerja yang boleh diluluskan pada tahun 2021. JKR Sabah menjangka cuma 5 ke 6 pakej kerja dapat dilaksanakan di bawah RMK12 (2021 - 2025). Secara keseluruhan, kesemua 35 pakej kerja hanya dijangka siap pada tahun 2040. Kesemua inilah (point 4 ke 8) yang dikatakan oleh Bung Moktar di DUN Sabah. Ini bermaksud, beliau memang sedar bukan Pakatan Harapan yang memotong bajet pembinaan malah Kerajaan Sabah pada ketika itu yang meminta projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo diambil alih oleh JKR Sabah dan menamatkan cara PDP. Ini menunjukkan betapa Pakatan Harapan menghormati autonomi Sabah, apa yang diminta oleh kerajaan Sabah kami sokong. Apa motif beliau untuk menuduh Pakatan Harapan di parlimen? Kami berpendapat, ia mungkin disebabkan kesungguhan beliau untuk lobi cara pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo ditukar ke cara PFI (Private Fund Initiative). Adalah menjadi pengetahuan umum Bung adalah penyokong tegar PFI. Merujuk kepada suatu laporan media (https://www.theedgemarkets.com/article/sabah-pan-borneo-highway-could-proceed-pfi), Menteri Kanan Kerja Raya Persekutuan Datuk Seri Fadilah Yusof kata, sebarang kertas cadangan akan dikaji secara dalam oleh UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta) dan Kementerian Kewangan. Sebagai perbandingan dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, pada tahun 2019, cuma 12% bahagian Sabah telah siap malah 38% bahagian Sarawak telah siap. Sehingga Mac tahun ini, hanya 15.4% Fasa 1 disiap, walaupun projek-projek dianugerah 5 tahun yang lalu. Ini jelas bukan disebabkan oleh Pakatan Harapan, sedangkan projek ini bermula sejak zaman Barisan Nasional. Ini juga jelas bukan disebabkan pemotongan bajet yang dituduh oleh Bung. Selaku Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Bung Moktar harus mencari punca sebenar kenapa pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah sangat lewat berbanding dengan Sarawak. Menabur fitnah dan menuding jari sebarangan dengan motif cari kambing hitam bukan cara penyeselaiannya. Pakatan Harapan hanya mansuhkan satu projek pembangunan yang bermula sejak zaman Barisan Nasional di Sabah, iaitu Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP). 88% daripada jumlah kos sebanyak RM4.06 bilion telah dibayar untuk projek tersebut tetapi tidak ada saluran paip yang telah siap dengan hanya 11.4% pembukaan tanah selesai. Pada ketika itu, kerajaan Pakatan Harapan adalah gigih menuntut pengembalian pampasan berbillion-billion yang sudah dibayar kepada kontraktor China, dan sebarang pampasan yang dituntut balik, atas niat Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika itu, adalah digunapakai untuk pembangunan infrastruktur lain di Sabah. Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengistiharkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM4.66 bilion untuk Sabah dan RM4.47 bilion bagi Sarawak untuk tujuan pembangunan. Beliau kata peruntukan itu sedang disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021 sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini. Peruntukan ini jauh lebih rendah berbanding dengan peruntukan diperuntukkan kepada Sabah semasa Lim Guan Eng menjalankan amanah Menteri Kewangan. Pada tahun 2020, Sabah telah diperuntukkan rekod sejarah RM5.2 billion untuk pembangunan, di mana ia tertinggi di antara semua negeri. Apa yang Ismail Sabri berikan kepada Sabah pada tahun 2021, kurang RM600 juta dari bajet tahun 2020! Kami ingin menegur Yang Berhormat jangan mengelirukan dewan. Kalau betul-betul Bung Moktar berani mempertahankan Sabah, bukan sahaja beliau harus minta dana pembangunan yang lebih dari PM, sekurang-kurangnya setanding dengan apa yang diperuntukkan semasa Pakatan Harapan, malah beliau harus mengkritik Perdana Menteri kerana pemotongan dana pembangunan untuk Sabah! Chan Foong Hin Ahli Parlimen Kota Kinabalu Noorita Sual Ahli Parlimen Tenom Vivian Wong Shir Yee Ahli Parlimen Sandakan

bottom of page