Cabul: Pekerja Cuci Kereta Ditahan
- nabalunews
- Dec 6, 2025
- 1 min read

6 Disember 2025
TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul seorang penuntut pusat pengajian yang dikenali melalui aplikasi TikTok dalam kejadian di PPRT Sri Apas Balung, baru-baru ini.
Lelaki berusia 20-an itu ditahan selepas dilaporkan bertindak memeluk serta meraba badan tanpa kerelaan mangsa yang berusia 21 tahun.
Malah lelaki terbabit turut didakwa mengugut akan melakukan perbuatan lebih buruk jika mangsa tidak menurut kehendaknya.
Bimbang dengan ugutan suspek, mangsa berjaya melarikan diri sebelum tampil membuat laporan polis kerana takut keselamatan dirinya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan dibuat mangsa, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan operasi mengesan suspek.
“Hasil risikan, suspek warga asing berusia berjaya ditahan kira-kira jam 11 malam, di kawasan Batu 3, Jalan Apas, di sini.
“Suspek kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Jasmin berkata pihaknya memandang serius kesalahan yang mengancam keselamatan wanita dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba melakukan jenayah seumpama itu.
Katanya, masyarakat turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berinteraksi di media sosial dan segera membuat laporan jika berdepan ancaman atau melihat aktiviti mencurigakan di kawasan mereka.















Comments