Cadangan ajar empat bahasa etnik Sabah dibawa kepada kerajaan – Ewon
- Wartawan Nabalu News
- 2 days ago
- 2 min read

15 Jun 2025
PENAMPANG: Cadangan memperluas pengajaran subjek Bahasa Kadazandusun di sekolah meliputi empat bahasa etnik lain di Sabah telah diangkat kepada Kerajaan Persekutuan, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Menurut beliau, usaha memperkasa kurikulum bahasa etnik itu adalah inisiatif berterusan pelbagai pihak termasuk Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF), Momogun National Congress (MNC) dan Persatuan Bahasa Etnik Sabah.
“Selama ini, subjek Bahasa Kadazandusun di sekolah hanya berasaskan dialek Dusun Bunduliwan sepertimana dipersetujui dalam perjanjian di antara KDCA dan USDA.
“Selepas saya menganggotai Kabinet Persekutuan, saya telah menerima cadangan beberapa persatuan etnik di Sabah, guru-guru bahasa Kadazandusun di Penampang, Tuaran, Kuala Penyu dan Tenom, maka saya bersama delegasi Sabah telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tahun lalu bersama dengan delegasi Kementerian Pendidikan.

“Kita telah mengemukakan cadangan untuk mengembangkan kurikulum ini merangkumi empat lagi bahasa etnik utama iaitu bahasa Tatana di Kuala Penyu, Kadazan Tangaa Penampang, Murut Timugon di Tenom dan Dusun Lotud di Tuaran.
“YB Fadhlina seterusnya bersetuju supaya satu jawatankuasa khas di Kementerian Pendidikan ditubuhkan untuk meneliti cadangan ini. Saya akan terus menyusuli segala usaha untuk menjayakan cadangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Odou do Kaamatan di Kg Mahandoi anjuran UPKO Beaufort dengan komuniti masyarakat Kuala Penyu yang bekerja, berniaga dan bermastautin di Kota Kinabalu.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, usaha memperkasakan pendidikan bahasa etnik di sekolah-sekolah kerajaan dengan mengembangkan kurikulum sedia ada iaitu Bahasa Kadazandusun dengan membangunkan modul empat bahasa etnik iaitu Tatana, Kadazan Tangaa, Murut Timogun dan Dusun Lotud, akan diteruskan.
Beliau berkata, kementeriannya turut menyokong usaha itu menerusi penyaluran peruntukan khas kepada empat persatuan bahasa etnik berkenaan bagi tujuan pembangunan modul, buku kerja dan buku teks.

Ewon berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan memperkasakan bahasa etnik di sekolah.
“Sebab itu tahun lepas saya memastikan penyaluran dana sokongan kepada empat persatuan etnik berkenaan iaitu Tatana, Murut Timugon, Lotud Tuaran dan Kadazan Penampang yang mengurus keempat-empat bahasa etnik ini untuk membantu membangunkan modul kurikulum dan buku kerja sebagai usaha awal memastikan keempat-empat bahasa etnik dapat diajar di sekolah selain daripada Bahasa Kadazandusun yang ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata, pengajaran empat bahasa etnik Sabah itu boleh dilaksanakan secara rintis di sekolah-sekolah terpilih di daerah berkenaan.
“Misalnya, di Kuala Penyu, pengajaran Bahasa Tatana lebih sesuai berbanding penggunaan dialek Bunduliwan, mengambil kira pandangan ibu bapa dan guru di daerah tersebut yang majoritinya daripada etnik masyarakat Tatana,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Sabah boleh mencontohi pelaksanaan pengajaran bahasa etnik di sekolah-sekolah kerajaan di Sarawak, di mana subjek Bahasa Iban diajar di sekolah sama seperti Bahasa Kadazandusun tetapi pengajaran Bahasa Bidayuh juga telah dimulakan secara rintis.
“Usaha ke arah ini sedang dibuat. Rombongan dari Sabah juga telah membuat lawatan ke sekolah di Sarawak bagi melihat sendiri pelaksanaan pengajaran bahasa etnik Bidayuh tersebut sebagai tambahan kepada pengajaran Bahasa Iban,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon menekankan pentingnya pengekalan kebudayaan seperti sambutan Kaamatan dikekalkan dan dipertahankan sebagai simbol perpaduan.
“Sambutan Kaamatan kini bukan sahaja diraikan oleh kaum Momogun di Sabah, tetapi turut diraikan oleh masyarakat kita di luar negara. Perayaan ini mencerminkan identiti etnik dan perpaduan merentas suku kaum dan agama.
“Sebagai Menteri dan Presiden UPKO, saya akan terus memberi tumpuan kepada usaha pembangunan budaya dan bahasa etnik termasuk Tatana agar terus diwarisi oleh generasi muda,” katanya.
Comments