UMS–José Rizal University Filipina Meterai Kerjasama Jaringan Akademik Serantau
- nabalunews
- 15 minutes ago
- 2 min read

13 Mac 2026
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan José Rizal University (JRU), Filipina memperkukuh kerjasama akademik serantau melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis yang berlangsung secara maya, baru-baru ini.
Kerjasama strategik yang diterajui Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS bersama College of Hospitality and Tourism Management JRU itu menandakan fasa baharu hubungan akademik antara kedua-dua institusi setelah hampir sedekad menjalin kolaborasi.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pemeteraian MoU tersebut bukan sekadar satu formaliti, sebaliknya melambangkan pertemuan dua legasi akademik yang berkongsi aspirasi dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi di rantau Asia Tenggara.

“Kerjasama ini menyokong usaha memperkukuh kedudukan UMS dalam pelbagai penarafan universiti global termasuk QS World University Rankings, Times Higher Education (THE) World University Rankings, UI GreenMetric World University Rankings serta penilaian Malaysia Research Assessment (MyRA).
“Sebagai universiti yang dikenali dengan ‘The Brain of Borneo’, UMS memainkan peranan sebagai pusat pemikiran strategik yang menyumbang kepada pembangunan ilmu, inovasi serta penyelesaian isu serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis pemeteraian MoU antara UMS dan JRU yang diadakan secara hibrid di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Bangunan Canselori UMS.

Tambah Kasim, pemeteraian tersebut dijangka menjadi landasan untuk memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua universiti pada masa hadapan.
“Antara fokus kerjasama yang dirancang termasuk pelaksanaan penyelidikan bersama dalam bidang seperti ekonomi biru, transformasi digital dan pelancongan mampan.
“Kedua-dua institusi turut meneroka pembangunan mikro-kredensial dan pemindahan kredit melalui pensijilan digital bagi membolehkan pelajar memperoleh kemahiran yang diiktiraf oleh kedua-dua universiti.
“Kerjasama ini juga berpotensi membuka laluan kepada pelaksanaan program pendidikan rentas negara (Transnational Education – TNE), termasuk pembangunan program ijazah bersama serta peluang latihan industri yang mampu merapatkan keperluan pasaran kerja antara Malaysia dan Filipina.
“Kita bukan sekadar mempersiapkan pelajar untuk pekerjaan hari ini, sebaliknya bersama-sama membentuk tenaga kerja masa hadapan yang berdaya saing di peringkat global,” tambah beliau.
Sementara itu, Pensyarah FPEP Profesor Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata, hubungan akademik antara UMS dan JRU telah dibina sejak 2017 melalui pelbagai inisiatif termasuk penganjuran seminar kelestarian, program profesor pelawat serta jaringan profesional antara fakulti.
“Usaha berterusan tersebut akhirnya membawa kepada pemeteraian MoU yang akan memberi manfaat kepada staf dan pelajar kedua-dua institusi melalui pendedahan kepada pengalaman pembelajaran serta kemahiran dunia sebenar,” ujarnya.
Turut hadir Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor, Dr. Raman Noordin serta Dekan FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim.
.











