Cadangan Kaji Kebolehlaksanaan Tenaga Nuklear Belum Muktamad - Fadillah
- nabalunews
- Oct 31, 2024
- 1 min read

31 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah dalam peralihan tenaga negara masih belum dimuktamadkan, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau menjelaskan bahawa kajian ini akan merangkumi aspek kebolehlaksanaan, dengan penekanan pada peringkat awal untuk menentukan sama ada tenaga nuklear sesuai dan boleh diterima untuk dilaksanakan di Malaysia.
Kajian tersebut akan menilai pelbagai faktor seperti keselamatan, kos, dan kesan terhadap alam sekitar, serta mempertimbangkan sama ada tenaga nuklear mampu memenuhi keperluan tenaga negara dengan cara yang mampan dan selamat.
“(Pelaksanaan kajian) belum diputuskan lagi, hanya cadangan untuk dibuat kajian,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Hanan Tower di Ibu Pejabat Hanan, Kundang Industrial Park, di Rawang di sini pada Rabu, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan lebih RM300 juta di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, pada 18 Oktober lalu.
Anwar berkata peruntukan itu bagi memenuhi objektif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah mencapai sasaran gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050.
Sementara itu, mengenai projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir di Terengganu, Fadillah berkata ia adalah projek rintis yang dilaksanakan melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas.
Comments