top of page
Wartawan Nabalu News

Cadangan pemberian Kad Warga Asing meragukan



17 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Cadangan pengeluaran kad pengenalan warga asing yang dibuat Menteri Dalam Negeri Datuk Hamzah Zainuddin jelas membelakangkan rakyat Sabah, kata Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Wong Thien Fook.


Katanya, kenyataan terbaharu yang dikeluarkan baru-baru ini juga jelas menunjukkan beliau (Hamzah) tidak mahu menerima pandangan pelbagai pihak di Sabah.


“Hasrat atau cadangan yang dikeluarkan beliau amat meragukan terutamanya ketika negara berada diambang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


“Cukuplah, kami sebagai rakyat Sabah sudah lama mahu perkara ini diselesaikan. Malah masalah warga asing ini sudah menjadi terlalu serius kerana ia membabitkan beberapa generasi.


“Tetapi, sekiranya mereka berkeras untuk meneruskan hasrat mereka, kita cadangkan mereka untuk memindahkan semua warga asing yang bakal mempunyai kad pengenalan khas itu ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Wong yang juga Ketua Bahagian UPKO Sepanggar berkata, kerajaan negeri sepatutnya diberikan kuasa penuh mentadbir, memutuskan dan mengawal hal berkaitan imigresen serta pendaftaran penduduk di negeri ini.


Katanya, berbekalkan kepada pemindahan kuasa itu, masalah warga asing di negeri ini berpotensi besar untuk diselesaikan.


“Masalah warga asing sudah berlanjutan sejak berdekad lamanya dan sehingga ke hari ini, segala usaha hanya mampu sampai ke peringkat cadangan tanpa sebarang perlaksanaan.


“Sampai bila kita harus membiarkan masalah warga asing di negeri ini berlanjutan. Jalan terbaik adalah memberikan kuasa kepada kerajaan negeri untuk menguruskan hal ini sebaiknya.


“Secara jelasnya, hanya kerajaan negeri lebih memahami masalah ini berbanding dengan kerajaan persekutuan,” katanya.




תגובות


bottom of page