top of page
  • Wartawan Nabalu News

Calon PH berpengalaman luas mampu pacu ekonomi penduduk Ranau



15 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Ranau Taufik Dahlan adalah orang yang amat sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen baharu di Ranau kerana pengalaman luasnya dalam politik serta pentadbiran negara.


Taufik sebelum ini pernah bekerjasama dengan beberapa Menteri Persekutuan dan memahami cara kerajaan pusat berfungsi serta aliran pentadbiran daripada kementerian, kepada agensi dan pelaksanaan di peringkat jabatan.


Selain di peringkat persekutuan, beliau juga mempunyai pengalaman bekerja dalam kerajaan negeri di mana beliau berkhidmat rapat dengan Ketua Menteri ketika itu, dan terlibat secara langsung dalam banyak proses membuat keputusan oleh Ketua Menteri.


“Saya bermula sebagai perintis saluran Dusun radio dan televisyen, kerana saya menjadi penyampai pada lewat 70-an. Semasa saya di sana, saya telah menggalakkan penyanyi Dusun untuk mencipta lagu Dusun. Antara yang menjadi terkenal ketika itu ialah lagenda, Datuk John Gaisah.


“Sejak 2004 hingga 2006 saya turut terlibat dengan Tan Sri Bernard Dompok bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran (JPN) bagi menyelesaikan masalah dokumen warga Ranau yang tercicir dalam mendapatkan IC dan sijil kelahiran.


“Dalam usaha mengeluarkan kad pengenalan untuk penduduk kampung Ranau yang tinggal di kampung seperti Timbua, Kinarasan, Ulu Sugut dan Bongkud, kami akhirnya berjaya memberikan sijil kelahiran kepada 1,000 orang dan 480 kad pengenalan,” katanya.


Sambil bekerja di sebalik tirai, Taufik turut membantu rakyat dengan membawa manfaat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada rakyat antara 2013 hingga 2015 melalui 'touch community'.


Selain itu, Taufik turut membantu memperkasakan sektor pertanian di mana beliau berusaha menambah baik infrastruktur dan pemasaran hasil pertanian di sini, di samping berusaha meningkatkan industri pelancongan dengan membaiki jalan raya dan meningkatkan produk pelancongan.


“Saya juga terlibat dalam sektor perikanan, dan membantu rakyat khususnya pekebun kecil mendapatkan dana RM200,000 daripada kerajaan ketika itu. Sepanjang masa, kami bekerja di belakang tabir,” katanya.


Oleh itu, beliau menggesa rakyat di sini khususnya dalam kalangan pengundi muda supaya mengundi Pakatan Harapan pada PRU15 akan datang, kerana hanya PH yang mempunyai keupayaan untuk membawa negara ke hadapan dengan memulihkan ekonomi dan memastikan kestabilan politik.



bottom of page