top of page

Carlye Tawar Diri Bertanding Ketua Pemuda UPKO Pusat

  • nabalunews
  • 42 minutes ago
  • 2 min read

KOTA BELUD: Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, Carlye Lajimin, mengumumkan hasrat bertanding jawatan Ketua Pemuda UPKO Pusat bagi sesi 2026–2029 pada Mesyuarat Agung Tri-Tahunan parti itu dengan membawa agenda memperkasa kepimpinan serta ekonomi golongan muda.


Beliau berkata keputusan menawarkan diri dibuat selepas menerima sokongan dan harapan daripada akar umbi yang mahukan pendekatan kepimpinan lebih progresif, inklusif dan berorientasikan tindakan.


Menurutnya, sayap Pemuda UPKO perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai platform melahirkan pemimpin muda berintegriti dan berdaya saing, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta modal insan, khususnya di Sabah.


“Jika diberi amanah, saya akan memperkenalkan inisiatif ‘Satu Bahagian, Satu Usahawan’ yang menyasarkan setiap bahagian Pemuda UPKO membimbing dan melahirkan sekurang-kurangnya seorang usahawan muda berjaya menerusi latihan, bimbingan, jaringan mentor serta akses kepada pembiayaan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata inisiatif itu diyakini mampu memperkukuh ekonomi akar umbi di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.


Carlye turut menggariskan komitmen untuk memperkasakan pemuda di peringkat akar umbi menerusi pelaksanaan program pembangunan kepimpinan, memperluaskan penyertaan golongan muda dalam proses membuat keputusan parti serta meningkatkan penggunaan teknologi dan media digital bagi mendekati pengundi muda.


Katanya, agenda “Sabah First” akan terus diperkasakan dengan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, peluang pekerjaan dan pemerkasaan ekonomi anak Sabah.


Mengulas mengenai kepimpinan Pemuda UPKO, beliau berkata pembaharuan merupakan sebahagian daripada budaya organisasi yang sihat dan selaras dengan prinsip progresif parti.


Dalam pada itu, Carlye merakamkan penghargaan kepada penyandang Ketua Pemuda UPKO Pusat, Felix Joseph Saang, atas sumbangan beliau dalam memperkukuh sayap pemuda parti.


Beliau berkata pengalaman dan kepimpinan Felix masih diperlukan di peringkat parti yang lebih tinggi bagi memastikan kesinambungan perjuangan serta memperkukuh UPKO secara keseluruhannya.


Carlye menegaskan tawaran beliau untuk bertanding bukan kerana menganggap dirinya paling layak, sebaliknya atas keyakinan bahawa Pemuda UPKO mempunyai potensi besar untuk terus menjadi penggerak utama masa depan parti.


Beliau berharap mendapat sokongan perwakilan bagi merealisasikan usaha membina sayap Pemuda UPKO yang lebih progresif, berdaya saing dan dekat dengan aspirasi generasi muda

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page