top of page

CCCT umum komitmen sokong TAAE 2025 tahun hadapan

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 2 min read

Penganjur merangkap pengarah pameran, Benjamin Lo (kiri) menyerahkan bahan promosi kepada William.
Penganjur merangkap pengarah pameran, Benjamin Lo (kiri) menyerahkan bahan promosi kepada William.

21 November 2025


TAWAU: Dewan Perniagaan Tionghua Tawau (CCCT) hari ini mengumumkan komitmen akan memberikan sokongan penuh kepada penganjuran Tawau Agriculture & Aquaculture Exhibition 2025 (TAAE 2025) di Dewan Masyarakat Tawau pada 23 hingga 25 Januari 2026.


Timbalan Presiden CCCT, William Tan menggesa ahli-ahli CCCT dan para penggiat industri berkaitan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha memacu inovasi dan pembangunan mampan sektor pertanian, akuakultur dan industri pemprosesan daerah Tawau.


Katanya, TAAE 2025 sepatutnya diadakan pada 7 hingga 9 November 2025 tetapi ditunda ke Januari 2026 bagi menyesuaikan jadual dengan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah.


TAAE 2025 merupakan pameran tahunan Tawau yang mempamerkan teknologi, produk dan perkhidmatan terkini dalam industri pertanian dan akuakultur, serta menjadi pemangkin penting kepada pembangunan industri berkaitan di wilayah ini.


Menurutnya, pameran itu bakal menjadi pentas utama mempamerkan perkembangan terkini dalam bidang pertanian dan akuakultur, yang dijangka menarik penyertaan pemimpin industri, inovator, penyelidik dan golongan profesional.


“Antara bidang pameran termasuk teknologi pertanian pintar, sistem penternakan akuakultur, pertanian organik, benih dan nurseri, penternakan, kawalan penyakit akuatik serta peralatan dan mesin industri perikanan,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Wiliam berkata, pameran itu dijangka turut menampilkan zon khas yang memfokuskan pertanian digital, automasi mekanikal, teknologi pertanian mesra alam dan penyelesaian pertanian mampan, bertujuan membantu pemain industri mengikuti perkembangan teknologi terkini serta meningkatkan daya saing.


Menurutnya, dalam usaha memperkenalkan potensi industri pemprosesan pertanian Tawau, penganjur akan memperkenalkan ‘Zon Pameran Produk Pemprosesan Makanan Pertanian Tempatan’ yang merangkumi makanan sedia makan, produk daging proses, kek ikan, kuih-muih dan bakeri, sos segar tempatan serta makanan ringan.


“TAAE 2025 menjadi medan penting untuk mempertemukan syarikat huluan dan hiliran pertanian, pengusaha makanan proses, pembekal mesin, pembangun teknologi serta institusi akademik–industri–penyelidikan bagi menjalin jaringan, padanan dan kerjasama industri,”katanya.


Beliau menggesa syarikat-syarikat tempatan agar memanfaatkan peluang dengan menyertai pameran atau aktiviti berkaitan bagi mempamerkan keupayaan syarikat, memperluaskan rangkaian rakan niaga, meneroka teknologi baharu serta meningkatkan penjenamaan.


Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau pendaftaran, boleh menghubungi 017-8113539 (Puan Azlina), 017-8013939 (Mr Roland) dan 012-8273939 (Mr Benjamin Lo).

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page