top of page

Cederakan Dan Samun Wanita, Tiga Ditahan

  • nabalunews
  • 43 minutes ago
  • 1 min read

26 Mac 2026


SANDAKAN: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mencederakan sebelum menyamun seorang wanita dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Batu 7, di sini, Sabtu lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan dilaporkan kerugian hampir RM20,000 termasuk barang kemas selepas dilarikan penjenayah berkenaan.


Bagaimanapun, hasil kecekapan siasatan polis bwejaya membawa kepada penahanan tiga lelaki termasuk seorang warga asing untuk membantu siasatan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K.Ramasamy berkata, berdasarkan siasatan mendapati, mangsa diserang seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke rumah melalui tingkap.


Katanya, suspek kemudian melarikan diri bersama beberapa barangan berharga termasuk telefon bimbit dan barang kemas dengan anggaran kerugian kira-kira RM20,000.


“Bertindak atas maklumat dan siasatan lanjut, polis melancarkan beberapa operasi sebelum berjaya menahan tiga suspek termasuk seorang penjaga premis pajak gadai di sekitar Sandakan pada 24 hingga 25 Mac lalu.


“Suspek utama yang ditahan dikenalpasti sebagai warga asing selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta penemuan beberapa barang kes termasuk telefon bimbit, barang kemas dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes.


Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan diri dan kediaman selain menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.


Sebelum ini, video dan gambar suspek tular di media sosial memaparkan lelaki terbabit memecah masuk rumah mangsa dengan memakai topi, baju lengan panjang dan seluar pendek.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page