top of page

CEO SME Corp dilantik Profesor Adjung Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK

nabalunews

18 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp.Malaysia Rizal Nainy menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) Universiti Malaysia Kelantan (UMK).


Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Naib Canselor UMK Dato Prof Dr.Razli Che Razak, pada Program Chairman Entrepreneurship Lecture Series (CELS) Siri 2/2024, di UMK pada Rabu lalu.


Program CELS merupakan program syarahan keusahawanan yang diwujudkan oleh UMK dan disampaikan oleh tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang keusahawanan.


Dalam laporan Bernama, Rizal dipetik sebagai berkata, dalam tempoh jangka panjang, SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan memberikan fokus kepada lima strategi bagi memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.


Katanya, fokus tersebut termasuk menyediakan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai rantaian nilai syarikat besar dalam industri berimpak tinggi seperti pertanian pintar, aeroangkasa, elektrik dan elektronik, peranti perubatan, industri halal, pelancongan, bioteknologi serta minyak dan gas.


“SME Corp juga akan berusaha menggalakkan transformasi PKS ke pasaran global dengan mewujudkan rangka kerja berasaskan pasaran yang jelas," katanya.


Beliau berkata, bilangan perusahaan bersaiz mikro berkurangan kepada 1,101,725 premis pada 2023 berbanding 1,173, 601 premis pada tahun sebelumnya.


“Ini kerana berlaku peralihan PMKS menjadi pemain industri yang lebih besar. Kita dapati firma bersaiz kecil meningkat sebanyak 35.8 peratus, manakala bilangan perusahaan bersaiz sederhana juga turut meningkat sebanyak 7.9 peratus,” katanya.

Kommentare


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page