top of page

Chung Hwa Aramaiti 2025 Semarakkan Pesta Kaamatan di SJK(C) Kota Belud

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

Updated: 16 hours ago


1 Jun 2025


KOTA BELUD: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Chung Hwa Kota Belud telah mengadakan program tahunan ‘Chung Hwa Aramaiti 2025’ pada 28 Mei lepas bersempena sambutan Pesta Kaamatan, sekali gus menyemarakkan semangat kebudayaan dan perpaduan dalam kalangan warga sekolah.


Guru Besar sekolah,Chin Nyok Yen @ Evolyn, berkata bahawa sambutan ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi merupakan satu manifestasi penghargaan terhadap budaya dan tradisi etnik Sabah, khususnya kaum Kadazan-Dusun dan Murut. Tema tahun ini, “Pakaian Tradisi Etnik Sabah”, dipilih dengan tujuan memperkenalkan serta memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan generasi muda.


Menurut Evolyn, sekolah ini terdiri daripada warga pelbagai kaum dan latar belakang budaya. Maka itu, program seumpama ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh semangat harmoni, saling menghormati dan memahami keunikan budaya masing-masing, selari dengan nilai-nilai Malaysia Madani.



Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai SISC Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, Friskilah Ronggitom. Gimik perasmian dilakukan menerusi simbolik paluan gong, menandakan pembukaan rasmi program tersebut.


Antara pengisian program yang berlangsung dengan jayanya termasuklah, Pertandingan Podokoton Tolingkang Lelaki (Feyen Baju Tradisi) melibatkan lima peserta Tahap 1 dan lima peserta Tahap 2.


Pertandingan Ginggiliton Tolumis (fesyen baju tradisi kategori perempuan) dengan penyertaan lima peserta Tahap 1 dan dua belas peserta Tahap 2.


Pertandingan Duet Sugandoi, yang menyaksikan empat pasangan peserta daripada kedua-dua tahap.


Evolyn turut menzahirkan penghargaan kepada penaja utama, KBee Kopitiam milik Willie Leong Vui Li, atas sokongan yang membolehkan program berlangsung dengan lancar dan teratur.


“Pelbagai aktiviti yang dirancang bukan sahaja memberi peluang kepada murid-murid untuk menyerlahkan bakat, malah mendidik mereka tentang nilai budaya dan identiti warisan yang harus terus dipelihara,” ujar beliau.


Sambutan Chung Hwa Aramaiti 2025 bukan sahaja memperkukuh jati diri pelajar dalam konteks budaya tempatan, tetapi turut memperlihatkan usaha berterusan pihak sekolah dalam membentuk warga yang berdaya saing, berbudaya dan berintegriti tinggi.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page