SOP pengoperasian railbus diperketatkan secara menyeluruh – Ewon
- nabalunews
- 5 minutes ago
- 2 min read

12 Mac 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian railbus akan diperketatkan secara menyeluruh bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku pada masa hadapan.
Beliau berkata langkah itu diambil selepas laporan insiden pelanggaran melibatkan railbus dan sebuah motor troli di Tenom dibentangkan dalam mesyuarat kabinet negeri.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati motor troli berkenaan sudah berada di landasan dan bukannya dicampak bagi memberhentikan kereta api yang didakwa hilang kawalan.
“Motor troli itu memang sedia berada di atas landasan kerana ia merupakan antara mod pengangkutan yang digunakan oleh penduduk di kawasan berkenaan. Jadi, tidak benar dakwaan bahawa ia dicampak ke landasan untuk menghentikan kereta api,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini, kelmarin.
Ewon berkata, siasatan juga mendapati kejadian railbus hilang kawalan berpunca daripada kecuaian dalam memastikan sistem brek diperiksa sepenuhnya sebelum pergerakan kereta api pada hari kejadian.
Bagaimanapun, katanya, selepas insiden itu, pemandu kereta api terbabit telah melakukan pemeriksaan terperinci terhadap sistem brek serta mengambil langkah sewajarnya sebelum meneruskan perjalanan.
“Selepas pemeriksaan dilakukan, railbus yang sama bergerak semula ke Stesen Tenom dengan membawa kira-kira 12 orang guru serta beberapa penumpang lain dan perjalanan itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah brek.

“Dari segi peraturan, memang tidak seharusnya ada pergerakan lain di atas landasan kereta api. Justeru, perkara ini juga akan diteliti secara menyeluruh termasuk aspek perundangan yang termaktub dalam enakmen sedia ada,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa perkhidmatan kereta api di Sabah masih selamat digunakan selagi semua SOP keselamatan dipatuhi sepenuhnya.
“Saya memberi jaminan bahawa kereta api yang digunakan ketika ini masih selamat sekiranya semua prosedur dan pemeriksaan keselamatan dipatuhi,” katanya.
Ewon berkata beliau juga bercadang untuk menaiki railbus yang sama bagi meninjau sendiri keadaan di kawasan tersebut, kemungkinan selepas sambutan Aidilfitri.
Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan Ramadan kepada para pengguna perkhidmatan kereta api Sabah sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia perkhidmatan itu.
Menurutnya, program berkenaan merupakan tradisi JKNS bagi menghargai pengguna yang terus menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Daripada komunikasi saya dengan para pengguna, ada yang datang dari Beaufort menggunakan perkhidmatan ini untuk ke Kota Kinabalu sama ada untuk bekerja atau menuntu di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Turut hadir Setiausaha Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Thomas Logijin dan Pengarah JKNS Ir.Mohammad Safri Abd Habi.











