• nabalunews

COVID: 1,384 KES BAHARU, ENAM KEMATIAN DICATAT - KP KESIHATAN

Updated: Mar 24


Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

23 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Kes baharu COVID-19 meningkat kepada 1,384 kes hari ini daripada 1,116 kes semalam dengan enam kes kematian direkodkan.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dengan perkembangan terbaharu itu jumlah kumulatif kes setakat ini ialah 335,540 dengan kes aktif sebanyak 14,454.



"Daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,375 adalah kes tempatan manakala sembilan lagi merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara," katanya dalam satu kenyataan perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.


Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,058 lagi kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sembuh akibat pandemik itu sebanyak 319,842.


Beliau berkata jumlah keseluruhan yang meninggal dunia akibat pandemik itu kini mencecah 1,244 orang, manakala pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah 148 dengan 62 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.



Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 625 kes diikuti Johor dengan 161 kes dan Sarawak sebanyak 140 kes.


Pulau Pinang pula mencatat 100 kes, Kelantan (65), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (64), Sabah (60), Kedah (51), Melaka (45), Pahang (38), Wilayah Persekutuan Labuan (14), Negeri Sembilan (10), Terengganu (tujuh) dan Perak (empat).


Beliau juga memaklumkan tiga lagi kluster baharu dikesan kesemuanya melibatkan kluster tempat kerja iaitu Kluster Balakong Jaya Dua di Selangor, Kluster Jalan Indah Gemilang Satu, Johor dan Kluster Teknologi Bukit Minyak di Pulau Pinang. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com