COVID-19: 1,196 KES BAHARU, SATU KLUSTER BAHARU DAN SATU KEMATIAN HARI AHAD COVID-19: 1,196 KES BAHARU, SATU KLUSTER BAHARU DAN SATU KEMATIAN HARI AHAD
top of page
  • nabalunews

COVID-19: 1,196 KES BAHARU, SATU KLUSTER BAHARU DAN SATU KEMATIAN HARI AHAD


27 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,196 kes harian baharu COVID-19 dicatatkan negara hari ini, dengan satu kluster baharu dikesan dan satu kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tambahan kes harian berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara mencecah 105,096 kes.

Dalam satu kenyataan berhubung perkembangan COVID-19, hari ini, katanya Selangor merupakan negeri dengan kes tertinggi iaitu sebanyak 392 kes, diikuti Kuala Lumpur (202), Johor (194) dan Sabah (186).


Selain itu, Negeri Sembilan mencatatkan 39 kes, Pulau Pinang (37), Kelantan (31), Perak (30), Kedah (27), Melaka (23), Labuan (12), Pahang (sembilan), Putrajaya (enam), Terengganu (lima) dan Sarawak (tiga).

Menurut Dr Noor Hisham, lima daripada keseluruhan jumlah kes baharu hari ini merupakan kes import dengan dua dikesan di Selangor dan tiga lagi di Sarawak.

Katanya 997 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 84,411 kes atau 80.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengenai satu kematian yang dilaporkan hari ini, beliau berkata ia melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun di Sabah.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kluster baharu dikenali Kluster Jalan Sedco telah dikenal pasti menjadikan jumlah kluster yang dilaporkan sehingga kini adalah 484.

Menurutnya kluster berkenaan melibatkan tempat kerja di Tawau dan Kalabakan, Sabah yang kes indeksnya dilaporkan positif COVID-19 pada 20 Dis lepas melalui saringan individu bergejala, dan sehingga kini 26 individu telah disaring dengan 14 kes dikesan positif.

Beliau berkata terdapat 271 kluster yang telah tamat termasuk tiga kluster tamat hari ini iaitu Kluster Kerengge, Kluster Alila dan Kluster Gemilang, menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 213 kluster.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 45 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini, dengan yang tertinggi adalah Kluster Tampoi Jaya (78 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Stadium (63 kes) dan Kluster Beringin (30 kes). - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page