COVID-19: 1,472 KES BAHARU, DENGAN LEBIH 50 PERATUS KES DARIPADA KLUSTER TERATAICOVID-19: 1,472 KES BAHARU, DENGAN LEBIH 50 PERATUS KES DARIPADA KLUSTER TERATAI
top of page
  • nabalunews

COVID-19: 1,472 KES BAHARU, DENGAN LEBIH 50 PERATUS KES DARIPADA KLUSTER TERATAI


1 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Kes positif COVID-19 hari ini kekal mencatatkan empat angka, dengan 1,472 kes baharu yang sebahagian besar daripadanya adalah daripada Kluster Teratai, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun beliau berkata sebanyak 1,552 kes sembuh dilaporkan hari ini dan masih mengatasi angka kes positif.

"Kluster Teratai sahaja pada hari ini telah melaporkan sebanyak 778 kes (52.9 peratus) daripada keseluruhan jumlah kes harian untuk negara dan menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian yang dilaporkan di negeri Selangor (891 kes)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata secara keseluruhan dalam tempoh seminggu yang lepas, Malaysia menunjukkan jumlah pelaporan kes harian yang lebih stabil dengan sebahagian besar daripada kes kebelakangan ini berpunca dari tapak binaan dan kilang.

"Angka yang tinggi ini adalah susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata sejak diumumkan pada 7 Nov lepas, sejumlah 6,603 individu telah disaring bagi Kluster Teratai dan daripada jumlah itu sebanyak 5,056 kes telah dikesan positif melibatkan 331 (6.5 peratus) warganegara dan 4,725 (93.5 peratus) kes adalah bukan warganegara.

Sebanyak 1,501 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan dan kesemua kes positif telah diasingkan.

"Oleh itu, KKM menyambut baik pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bagi melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang berkenaan bermula dari 1 Dis sehingga 14 Dis," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, majikan berkenaan telah diarah untuk menghentikan operasi dan menutup kilang secara berperingkat serta menjalankan saringan terhadap kesemua pekerja mereka.

Selain itu, katanya, anggota kesihatan juga telah digerakkan sejak awal lagi ke kawasan terlibat bagi membantu aktiviti kawalan dan pencegahan.

Berkenaan angka kes, beliau berkata daripada jumlah kes baharu hari ini terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Sehingga kini, terdapat 120 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 44 kes memerlukan bantuan pernafasan sementara tiga kematian direkodkan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata ketiga-tiga kematian melibatkan individu dari Sabah. Kematian pertama melibatkan wanita berusia 64 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan kanser usus.

Manakala kematian kedua melibatkan lelaki berusia 51 tahun menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung sementara kematian ketiga membabitkan lelaki berusia 24 tahun. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page