• nabalunews

COVID-19: 15 DAERAH DI SABAH ZON MERAH

Updated: Oct 19, 2020


19 OKTOBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Sebanyak 15 daerah di Sabah, kini menjadi zon merah susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan itu.

Daerah-daerah itu ialah Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar, Kota Belud, Keningau, Tambunan, Beaufort dan Ranau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 di negeri ini yang dilaporkan kelmarin sebanyak 702 kes, enam kes kematian dan satu kluster baharu.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah sebanyak 7,439 kes. Sehingga kini, seramai 2,728 pesakit dilaporkan sembuh dan 4,650 pesakit sedang menerima rawatan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, kelmarin.

Masidi yang juga Menteri Kewangan II berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu di Sabah pada 18 Oktober, 141 kes dikesan di Semporna, Kota Kinabalu (127 kes), Lahad Datu (98 kes), Sandakan (78 kes), Tawau (70 kes), Tuaran (44 kes), Putatan (24), Penampang (20 kes), Tambunan (19 kes), Keningau (16 kes), Kunak (11 kes), Papar dan Ranau masing-masing 10 kes, Kota Belud (sembilan), Kudat (enam kes), Kuala Penyu (lima kes), Pitas (empat kes), Kinabatangan, Sipitang, Kota Marudu, Tenom dan Telupid masing-masing mencatatkan dua kes baharu.

“Sungguhpun bilangan kes agak tinggi, saya merayu rakyat supaya tenang dan sentiasa mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana peningkatan kes di Sabah disebabkan hasil saringan di lapangan yang diperluaskan serta bersasar di kawasan jangkitan di 15 daerah zon merah.

Di samping itu, peningkatan ini adalah hasil keputusan ujian makmal terhadap tunggakan sampel sebelum ini yang dianggarkan sebanyak 18,000 sampel,” katanya.

Oleh itu katanya, rakyat tidak perlu risau kerana langkah kawalan pencegahan membendung penularan jangkitan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di mana seramai 1,577 orang dikuarantin di Pusat Kuarantin dan seramai 29,470 orang diperintahkan kuarantin rumah.

Di samping itu, bagi mana-mana penduduk yang mempunyai gejala dan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 diminta untuk membuat saringan Covid-19 dengan segera,” katanya.


ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com