COVID-19: 4,094 KES BAHARU DIREKODKAN, 10 LAGI KEMATIAN - KP KESIHATANCOVID-19: 4,094 KES BAHARU DIREKODKAN, 10 LAGI KEMATIAN - KP KESIHATAN
top of page
  • nabalunews

COVID-19: 4,094 KES BAHARU DIREKODKAN, 10 LAGI KEMATIAN - KP KESIHATAN


28 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Bilangan kes baharu COVID-19 di negara ini kembali meningkat kepada lebih 4,000 kes hari ini, selepas empat hari berturut mencatat angka di bawah jumlah itu.

Dengan 4,094 kes baharu dicatat hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini 198,208 dengan 43,192 kes aktif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di sini hari ini.

Seramai 303 orang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 118 kes memerlukan bantuan pernafasan.


Beliau berkata daripada kes baharu yang dicatat hari ini, 4,086 adalah kes tempatan dengan 3,328 warganegara dan 758 bukan warganegara, manakala lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan dua warganegara dan enam bukan warganegara.

“Kes kematian pula adalah 10 kes, menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 setakat ini adalah 717 orang, manakala terdapat sembilan kluster baharu dikesan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 3,281 kes sembuh dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sembuh daripada COVID-19 ialah 154,299 orang.

Selangor masih mencatat kes harian baharu paling tinggi dengan 1,577 kes, diikuti Johor 717 kes; Kuala Lumpur (678); Sabah (282); Sarawak (171); Pulau Pinang (99); Perak (94); Kedah (92); Terengganu (80); Melaka (73); Pahang (72); Labuan (55); Negeri Sembilan (48); Kelantan (37); Putrajaya (10); dan Perlis (sembilan kes).

Mengenai sembilan kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata lima daripadanya adalah kluster tempat kerja, manakala tiga kluster lagi kluster komuniti dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Beliau berkata kluster tempat kerja melibatkan Kluster Jalan Faizal; Kluster Jalan Satria; Kluster Jalan Dewani Satu yang kesemuanya di Johor, manakala Kluster Industri Peramu Jaya di Pahang dan Kluster Taman Mahkota Impian di Labuan, Sabah.

Kluster komuniti pula melibatkan Kluster Jalan Pakat di Selangor, Kluster Indah Riang di Sarawak dan Kluster Kampung Kemansur di Pahang, manakala kluster kumpulan berisiko tinggi adalah Kluster Jalan Kejora di Melaka.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kluster setakat ini dalam negara adalah 779 kluster, dengan 372 daripadanya merupakan kluster aktif. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page