• Wartawan Nabalu News

COVID-19: 488 KES BAHARU DI SABAH DILAPORKAN PADA 11 OKT

Updated: Feb 2


Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah

11 OKTOBER 2020


WARTAWAN NABALU NEWS


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 488 kes baharu positif COVID-19 daripada 561 kes di seluruh negara pada 11 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 488 kes baharu di Sabah, 50 kes adalah daripada kluster baharu dan selebihnya daripada saringan COVID-19 yang akan diperincikan kemudian.

Beliau berkata, 50 kes baharu itu ialah daripada Kluster Surat (22 kes) 15 kes (Kluster Kasih) dan 13 kes Kluster Khazanah.

“Sehingga 11 Oktober pukul 12:00 tengah hari, 561 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 15,657 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 4,587 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), pada Ahad (11 Oktober).

Dr.Noor Hisham berkata, daripada 561 kes baharu yang dilaporkan, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu dari Indonesia, China, Singapura, Kemboja dan Arab Saudi.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 90 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 157 kes (1.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.