• nabalunews

COVID-19: 97.98 PERATUS KADAR PEMATUHAN PENDUDUK TERHADAP SOP PKPB DI SABAH



20 DIS 2020


KOTA KINABALU: Penduduk Sabah menunjukkan kadar pematuhan yang tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), iaitu sehingga 97.98 peratus, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.


Beliau meminta orang ramai terus mematuhi SOP dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa ketika mengunjungi tempat tumpuan awam seperti pasar raya dan pasar awam bagi membendung penularan pandemik COVID-19.


"Pihak berkuasa khususnya polis juga akan terus melaksanakan pemantauan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar pada SOP yang sedang berkuat kuasa," menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Sementara itu, beliau berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah pada hari ini adalah sebanyak 196 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 34,478 kes.


"Dua kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu di Tawau dan Sandakan. Seramai 266 pesakit COVID-19 telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 31,887 orang.


"Sejumlah 1,925 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 609 orang di hospital dan 1,316 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU pula adalah 60 orang dan 14 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya. - Bernama



ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com