• nabalunews

COVID-19: BUAT JANJI TEMU SEBELUM BERURUSAN DI UTC SABAH


25 NOV 2020


KOTA KINABALU: Orang ramai yang ingin berurusan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah, yang mula beroperasi semula hari ini, diminta membuat janji temu dengan jabatan yang beroperasi di pusat itu bagi mengelakkan kesesakan dan mengekang pandemik COVID-19.


Ketua Jabatan UTC Sabah, Zahir Ridwan Zainal berkata pada masa ini bilangan pelanggan pada satu-satu masa dihadkan oleh jabatan dan agensi masing-masing seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menetapkan hanya 40 pelanggan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula 20 pelanggan.


Selain itu, katanya, orang ramai juga diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang COVID-19 antaranya mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.


"Kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan memasuki premis UTC kecuali urusan yang melibatkan kecemasan. Bagi warga emas mereka masih dibenarkan untuk masuk dan berurusan tetapi untuk masa ini digalakkan untuk berurusan jika perlu sahaja,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.


UTC Sabah sebelum ini ditutup pada 7 Okt lalu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang pandemik COVID-19 dan hari ini mula beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

UTC Sabah beroperasi Isnin hingga Jumaat mengikut waktu operasi yang disingkatkan itu dan orang ramai boleh terus menghubungi talian UTC Sabah di 088-313 155 untuk membuat janji temu.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com