• Wartawan Nabalu News

COVID-19: DUA KLUSTER BAHARU DI SABAH, ENAM KLUSTER SELURUH NEGARA


22 OKTOBER 2020

KOTA KINABALU: Enam kluster baharu dilaporkan pada hari ini iaitu dua di Sabah melibatkan Sandakan dan Papar serta Miri Sarawak, dan empat di Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Tinusa melibatkan Sandakan dan Kluster Sauh pula melibatkan Kota Kinabalu dan Papar serta Miri Sarawak.

“Kes indeks bagi kluster Tinusa (iaitu kes ke-12844) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 6 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 33 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 22 Oktober jam 12 tengah hari, sejumlah 586 individu telah disaring, di mana 33 kes dikesan positif, 486 individu negative dan 67 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Sauh pula melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Papar serta daerah Miri Sarawak.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-16540 dan kes ke-17508) dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 13 Oktober dan kedua-dua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Miri, Sarawak.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lagi 15 kes positif. Sehingga 22 Oktober jam 12 tengah hari, sejumlah 149 individu telah disaring, di mana 17 kes dikesan positif dan 132 individu negatif,” katanya.