• nabalunews

COVID-19: ENAM KLUSTER BAHARU DIKENAL PASTI HARI INI - KP KESIHATAN


4 Nov 2020

PUTRAJAYA, 4 Nov -- Enam kluster baharu COVID-19 dikesan di Sabah, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster pertama dikenali Kluster Penjara Sandakan, melibatkan kes indeks (kes ke-29,176) yang dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan banduan, pada 27 Okt lepas.

“Setakat 12 tengah hari ini, sejumlah 293 individu dari kluster ini telah disaring, di mana 39 kes dikesan positif COVID-19, manakala 254 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua pula dikenal pasti sebagai Kluster Dialisis yang dikesan di Sandakan dan Lahad Datu, di mana kes indek bagi kes tersebut (iaitu kes ke-25,306, kes ke-25,316 dan kes ke-26,223) didapati positif COVID-19 hasil saringan petugas kesihatan, pada 23 Okt lalu.

Katanya, saringan kontak rapat bagi kluster itu, telah mengesan sebanyak 16 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua individu tersebut dirawat di Hospital Lahad Datu.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Sepanggar yang merupakan kluster ketiga pula dikesan di Kota Kinabalu, di mana saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh kes positif COVID-19.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-25,339) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 24 Okt dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran Mara (IKM), Sepanggar, Sabah,” katanya.

Beliau berkata kluster keempat pula dikenali Kluster Aero yang membabitkan kawasan Petaling dan indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-35,186) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat pada 3 Nov lepas.

Katanya, saringan kontak rapat kluster itu telah mengesan sebanyak 10 lagi kes positif COVID -19, daripada sejumlah 95 individu telah disaring.

Bagi Kluster Lengkuk, kluster baharu itu dikesan di Sepang, Seremban, Port Dickson serta Rembau.

Dr Noor Hisham berkata kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-29,916) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 28 Okt lepas dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Bagi kluster terakhir yang dikenali Kluster Gading, kluster itu melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Seremban.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata daripada sejumlah 32 individu yang telah disaring, tujuh kes dikesan positif COVID-19, lapan dikesan negatif manakala 17 individu lagi masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata dua kluster iaitu Kluster Embun dan Kluster Bah Tanjung masing-masing di Selangor dan Terengganu, turut diisytiharkan tamat pada hari ini.

Tiada kes kematian yang dilaporkan daripada dua kluster itu, katanya. - Bernama