• nabalunews

COVID-19: HUBUNGI TERUS JKNS JIKA INGIN BERI SUMBANGAN - MASIDI


14 Nov 2020

KOTA KINABALU: Pihak yang ingin memberi sumbangan bagi membantu memerangi wabak COVID-19 di Sabah, boleh terus menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan fasiliti kesihatan di bawahnya, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Masidi berkata mana-mana pihak yang ingin memberi bantuan juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tambahan yang sedang berkuat kuasa dan boleh melayari https://hednp.sabah.gov.my atau menghubungi talian 088-512555 untuk memohon Kelulusan Khas tersebut.

“Kerajaan negeri hari ini telah memperincikan SOP tambahan untuk memudahkan perkara ini. Bagi pengagihan sumbangan dari dalam dan luar negeri Sabah kepada JKNS dan semua fasiliti kesihatan di bawah JKNS, badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan boleh berhubung terus dengan JKNS,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Masidi berkata SOP tersebut terpakai untuk pengurusan sumbangan dan bantuan daripada NGO, syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang persendirian kepada JKNS dan fasiliti kesihatan di bawah jabatan itu.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata JKNS telah membuka sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah baharu di Kudat iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim dengan kapasiti 98 buah katil.

Mengenai bakul makanan, Masidi berkata, kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 166,996 bantuan bakul makanan kepada golongan sasar, setakat ini.

Beliau turut mengingatkan rakyat Sabah agar terus memberi kerjasama dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 di negeri itu dengan mematuhi SOP termasuk mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif COVID-19, katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata kes baharu COVID-19 di seluruh negara merekodkan 1,114 kes dengan Sabah kekal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 391 kes.

Turut dilaporkan terdapat dua kluster baharu dikesan di Sabah hari ini iaitu Kluster Istimewa di Sandakan dan Kluster Alila di Kota Kinabalu.

Setakat ini, Sabah mencatat jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 22,714 kes. - Bernama