• Wartawan Nabalu News

COVID-19: KEPUTUSAN SAMPEL BAGI SEMPORNA, KUNAK AKAN DIKETAHUI DALAM TEMPOH TIGA HARI



10 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Daerah Semporna dan Kunak tidak mencatatkan kes pada hari ini disebabkan keputusan sampel bagi kedua-dua daerah tersebut belum diperolehi dan akan diketahui dalam tempoh 72 jam (tiga hari), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini sebanyak 397 kes.

“Daripada jumlah itu, 150 kes atau 37.78 peratus adalah dari Tawau, Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan yang berpunca dari saringan kontak rapat. Selebihnya iaitu 247 kes adalah dari lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.

Masidi berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu di Sabah, hari ini, Kota kinabalu mencatatkan 92 kes, Tawau (78 kes), Lahad Datu (42 kes), Sandakan (32 kes), Tuaran (31 kes), Kudat (28 kes), Keningau (26 kes), Penampang (21 kes), Putatan, Papar dan Kuala Penyu masing-masing 10 kes, Ranau (lapan kes), Kota Belud (enam kes), Sipitang (dua kes) dan Beluran (satu kes).

“Daerah Kota Marudu, Pitas, Semporna, Kinabatangan, Tambunan, Kunak, Tongod, Beaufort, Tenom dan Nabawan tidak mencatatkan sebarang kes baharu pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah ialah 21,189 kes.

“Hari ini enam kes kematian dicatatkan iaitu dua di Sandakan, dua di Semporna dan masing-masing satu di Kota Kinabalu dan Telupid,” katanya.

Beliau berkata, seramai 356 pesakit Covid sembuh pada hari ini. Manakala, seramai 2,903 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 744 orang di hospital dan 2,159 orang di PKRC.