COVID-19: KES BAHARU KEKAL EMPAT ANGKA DENGAN 1,032, KES PULIH 820COVID-19: KES BAHARU KEKAL EMPAT ANGKA DENGAN 1,032, KES PULIH 820
top of page
  • nabalunews

COVID-19: KES BAHARU KEKAL EMPAT ANGKA DENGAN 1,032, KES PULIH 820


4 Nov 2020

PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini sekali lagi mencatatkan empat angka iaitu 1,032 kes, sekali gus menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu kepada 10,339 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes positif itu 1,029 adalah kes penularan dalam negara, manakala tiga lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, masing-masing satu kes dari India, Singapura dan Filipina.

“Kesemua kes baharu hari ini melibatkan kes-kes di Sabah sebanyak 646, Selangor (231), Negeri Sembilan (44), Labuan (28), Kedah (25), Pulau Pinang (23), Sarawak (9).

“Manakala Kuala Lumpur sebanyak tujuh kes, Perak (6), Putrajaya (4), Terengganu (3), Kelantan (2) dan Johor (1),” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes pulih COVID-19 hari ini mencatatkan sebanyak 820 kes menjadikan kumulatif kes pulih sepenuhnya sehingga kini sebanyak 24,815 kes atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, terdapat lapan kes kematian direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 adalah 271 kes, manakala 82 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 27 kes memerlukan bantuan pernafasan. – Bernama

bottom of page