COVID-19: KHEMAH DI HQE TIADA KAITAN ISU KATIL ICUCOVID-19: KHEMAH DI HQE TIADA KAITAN ISU KATIL ICU
top of page
  • nabalunews

COVID-19: KHEMAH DI HQE TIADA KAITAN ISU KATIL ICU


Christina Rundi

12 OKTOBER 2020


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah hari ini menafikan maklumat tular yang mendakwa beberapa khemah perubatan yang dibuka di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini ialah kerana tiada katil kosong di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.


Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata sebaliknya, khemah-khemah tersebut dibuka bagi menjalankan saringan awal dan pemeriksaan ke atas pesakit, sekali gus mengelakkan penularan virus COVID-19 kepada pesakit lain atau petugas kesihatan yang berkongsi ruang yang sama.


"Khemah individu dalam siasatan (PUI) adalah tempat saringan bagi pesakit yang ada sejarah kontak dengan pesakit COVID-19, dan dengan adanya khemah ini, pesakit dapat diasingkan dan diberi rawatan awal sebelum dimasukkan ke wad isolasi khusus atau unit rawatan tetap.


“Khemah jangkitan respiratori akut teruk (SARI) pula turut dilengkapi peralatan perubatan yang diperlukan untuk merawat pesakit yang kritikal sebelum dipindahkan ke wad yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Dr Christina, hampir kesemua hospital dan klinik kesihatan di negeri itu telah membuka khemah-khemah saringan di Jabatan Kecemasan dan juga di Jabatan Pesakit Luar.


Baru-baru ini, tular menerusi media sosial gambar khemah perubatan berserta katil dan dan peralatan perubatan di HQE yang didakwa dibuka kerana ketiadaan katil di ICU hospital berkenaan.


Mengulas lanjut, Dr Christina meminta pihak yang berkenaan tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan pandangan negatif terhadap perkhidmatan hospital dan klinik di negeri itu yang sedang berusaha menangani penularan pandemik berkenaan.


Sementara itu, jabatan berkenaan turut menafikan maklumat bahawa pihak pentadbiran HQE menjalankan pungutan derma melalui ahli Lembaga Pelawat Hospital, seperti yang ditularkan menerusi media sosial. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page