• Wartawan Nabalu News

COVID-19: KLUSTER BAHARU DI SABAH BERKAITAN PEKERJA TAPAK PEMBINAAN DI KOTA KINABALU DAN TAWAU



15 NOV 2020


Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Dua kluster baharu di Sabah dikenalpasti hari ini berkaitan pekerja tapak pembinaan di Kota Kinabalu dan Tawau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Plaza di Kota Kinabalu sebanyak 12 kes berkaitan pekerja tapak pembinaan The Shore dan Kluster Jalan Kalabakan di Tawau sebanyak 22 kes juga berkaitan dengan pekerja tapak pembinaan.

Kluster Plaza membabitkan kes (ke-42,299) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 11 Nov dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran MARA, Kota Kinabalu.

Hasil saringan kontak rapat telah mengesan 11 lagi kes positif Covid-19.Sehingga pukul 12 tengah hari ini, 19 individu disaring, dengan 12 kes dikesan positif Covid-19 termasuk 11 kes baharu.

Kluster kedua di Sabah iaitu Kluster Jalan Kalabakan dikesan di Tawau melibatkan kes indeks (ke-31,309) yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 31 Okt dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

Saringan kontak rapat telah mengesan 21 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari ini, 22 individu disaring, dengan kesemua 22 kes dikesan positif Covid-19  termasuk tiga kes baharu