Tiga agenda utama digariskan dalam mesyuarat AJK UPKO Kota Marudu
- nabalunews
- 51 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA MARUDU, 29 Julai – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Marudu mengadakan mesyuarat jawatankuasa bahagian pertama bagi sesi 2026-2029 dengan tiga agenda utama, antaranya pengukuhan struktur organisasi dan pelantikan kepimpinan akar umbi, sekali gus melakar hala tuju baharu di bawah teras "Menyatu Kepimpinan, Menggerak Perjuangan".
Mesyuarat Bilangan 01/2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Bahagian, Pillexson James itu turut menggariskan amanat tegas bahawa setiap jawatan kepimpinan bukan sekadar gelaran, tetapi amanah yang wajib diterjemahkan melalui tindakan, prestasi dan hasil nyata kepada parti serta masyarakat.
Tiga agenda utama yang dibincangkan ialah pengesahan struktur organisasi serta pembahagian kluster dan portfolio Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, pelantikan Ketua-Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) serta penyelarasan gerak kerja di peringkat akar umbi, dan perancangan Bengkel Penyelarasan dan Pemantapan Kepimpinan bertemakan "Menyatu Kepimpinan, Menggerak Perjuangan."
Turut hadir sebagai pemerhati atas jemputan khas ialah Ketua-Ketua Cawangan UPKO dalam CLC Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek. Kehadiran mereka bertujuan mengeratkan hubungan strategik antara kepimpinan Bahagian dengan organisasi peringkat cawangan, selaras dengan fokus pengukuhan jaringan akar umbi.
Menurut Pillexson, barisan kepimpinan baharu bertekad membina budaya pentadbiran lebih tersusun, telus dan berorientasikan hasil. Setiap kluster dan portfolio akan diberikan bidang tugas jelas, sistem pelaporan berkala serta sasaran kerja yang boleh dipantau secara objektif.
Beliau menambah, pengukuhan CLC menjadi keutamaan memandangkan kekuatan sesebuah bahagian bermula daripada organisasi akar umbi yang aktif, bersatu serta mempunyai saluran komunikasi berkesan dengan kepimpinan bahagian.
Dengan semangat kepimpinan baharu, UPKO Bahagian Kota Marudu komited untuk terus bergerak sebagai satu pasukan, satu hala tuju dan satu perjuangan dalam memperkukuh parti UPKO Malaysia di peringkat akar umbi.















Comments